
Foto: Threads
Baru-baru ini, satu perbualan hangat di media sosial mencetuskan perdebatan yang sangat relevan dalam kalangan belia iaitu adakah berbaloi untuk belajar bertahun-tahun jika pendapatan hanya RM2.5K, sedangkan ‘budak TikTok’ mampu meraih jumlah yang sama dalam masa seminggu?
Pandangan ini dikongsikan oleh seorang pengguna Threads @anwar_razlan, mencerminkan dilema sebenar ramai generasi muda. Namun, respons daripada Dr. Malar dan Khairul Aming memberikan perspektif yang lebih luas dan matang tentang isu ini.
Dr. Malar menekankan bahawa pendidikan bukanlah semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan atau gaji. Ia adalah pelaburan jangka panjang dalam membentuk insan yang lebih celik, berpengetahuan dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai cabaran hidup. Beliau menyentuh bagaimana kerjaya sebagai influencer mungkin lumayan pada awalnya, tetapi kurang jaminan sosial dan keselamatan kewangan seperti EPF, SOCSO atau faedah kesihatan.
“Belajar lah dari situ adik-adik sekalian,” katanya, memberi peringatan kepada generasi muda supaya tidak terlalu mudah terpesona dengan kejayaan segera.
Bukan setakat itu, usahawan berjaya dan influencer terkenal, Khairul Aming turut menyokong kenyataan Dr. Malar. Beliau mengakui bahawa jika seseorang hanya bergantung kepada paid review dan engagement semasa, mereka hanya mampu bertahan dalam jangka masa pendek, terbukti juga ramai yang tidak mampu bertahan lebih dari 3 tahun.
Khairul Aming juga menekankan betapa sengitnya persaingan dalam dunia content creation sekarang:
“Semakin ramai content creators, semakin susah nak fight for engagement. Brands will go to whoever is relevant at that point of time.”
Beliau turut memberi nasihat yang sangat penting, iaitu mereka yang mahu bertahan dalam industri ini perlu menjaga personal branding dan mempelbagaikan sumber pendapatan, contohnya dengan berniaga.

Seorang pengguna lain @StratCommX merumuskan keseluruhan perbincangan ini dengan satu kata kunci penting iaitu ‘wisdom’. Keputusan jangka pendek mungkin menggoda, tetapi kebijaksanaan melihat ke depan adalah kunci kepada kejayaan sebenar. Pendidikan adalah tentang membina masa depan yang stabil, bukan hanya gaji pertama.
Memang benar bahawa dunia kini menawarkan banyak jalan pintas untuk memperoleh pendapatan. Namun, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Malar dan Khairul Aming, sebagai antara individu dengan bilangan pengikut yang ramai, kestabilan jangka panjang memerlukan asas yang kukuh dan pendidikan adalah salah satu daripada asas tersebut.
Sumber: X
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.