Foto: Astro AWANI
FIFA memperkenalkan bola rasmi untuk Piala Dunia 2026 yang dinamakan Adidas Trionda, membawa maksud "tiga gelombang", sekali gus menandakan inovasi baharu dalam teknologi bola sepak.
Trionda direka bukan sahaja untuk pemain tetapi juga bagi membantu pegawai perlawanan, dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu memudahkan keputusan ofsaid.
Bola ini menampilkan gabungan warna putih, merah, biru dan hijau sebagai penghormatan kepada tiga negara tuan rumah – Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico – selain mengimbau reka bentuk Brazuca 2014.
Antara simbol ikonik yang ditampilkan termasuk bintang biru bagi Amerika Syarikat, daun maple merah untuk Kanada, dan helang hijau mewakili Mexico.
“Ia adalah bola paling menarik dari segi visual yang pernah kami hasilkan untuk Piala Dunia FIFA. Direka untuk pentas terbesar bola sepak, ia membuatkan anda mahu memegangnya, mengaguminya, dan sudah tentu bermain dengannya,” kata Sam Handy, Pengurus Besar Adidas Football.
Bola tersebut turut dilengkapi cip pintar melalui Teknologi Bola Terhubung Adidas generasi baharu, yang berupaya menghantar data terus ke sistem VAR.
Dengan gabungan AI dan data kedudukan pemain, ia dapat mengesan setiap sentuhan bola dengan lebih tepat, sekali gus mempercepatkan keputusan ofsaid serta insiden bola baling.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.