
Foto: Sinar Harian
Seorang pekerja kafe berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah menggugurkan kandungannya yang berusia lima bulan dengan menggunakan ubat yang dibeli melalui aplikasi TikTok.
Ubat tersebut dipercayai berisiko tinggi, iaitu ubat jenis misoprostol yang dibeli dengan harga RM600. Pil ini dikatakan boleh menghalang bayi daripada dilahirkan dalam keadaan hidup.

Foto Hiasan
Menurut fakta kes, kejadian berlaku pada 12 Mei lalu di sebuah unit kediaman di Imperio Residence Tower A. Selepas mengambil ubat tersebut, Norazzeti mengalami keguguran dan menyerahkan janin kepada teman lelakinya untuk ditanam secara sembunyi. Tertuduh merupakan tahanan di Penjara Sungai Udang dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka kerana mengalami bengkak susu.
Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah, fakta kes, serta rayuan kedua-dua pihak. Norazzeti didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda, atau kedua-duanya.
Gadis yang bekerja di sebuah kafe dengan pendapatan RM1,800 sebulan, turut menyatakan dia menanggung bapa yang sudah uzur berusia 76 tahun serta dua adik yang masih bersekolah. Menurut peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, tekanan demi tekanan menyebabkan Norazzeti tunduk kepada desakan teman lelaki yang mendesaknya menggugurkan kandungan.
“Tertuduh baru berusia 21 tahun dan merupakan anak ke-10 daripada 13 beradik. Dia tertekan, tidak tahu kepada siapa harus mengadu. Akhirnya dia memilih jalan singkat yang kini menjadi sesalan seumur hidup,” kata peguamnya, Muhammad Izzuddin Ab Malek.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif pula menegaskan perlunya hukuman setimpal agar menjadi pengajaran dalam menangani gejala sosial yang semakin membarah, terutama dalam kalangan anak muda.
Kes ini membuka mata masyarakat tentang betapa mudahnya akses kepada ubat penggugur kandungan melalui platform media sosial dan betapa rapuhnya sistem sokongan emosi yang dimiliki sesetengah wanita muda.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.