Bacaan Indeks Pencemaran Udara(IPU) di sesetengah negeri semakin buruk dalam bacaan lingkungan 100 ke 200. Ini membuatkan jarak penglihatan di sekitar kawasan terjejas agak kabur dan berasap.
Selain boleh menjejaskan kesihatan, jerebu turut mengganggu pemanduan. Jarak penglihatan yang kabur menyulitkan lagi keadaan ketika sedang memandu. Berikut adalah 15 Tips pemanduan sewaktu memandu dalam keadaan berjerebu.
1. Kawal had kelajuan
Jangan memandu dalam kelajuan yang tinggi terutamanya ketika jarak penglihatan agak terhad. Anda pasti sukar menjangka keadaan di hadapan apatah lagi sekiranya kenderaan di hadapan anda tidak memasang lampu (walau pun hari siang). Seelok-eloknya pandu dalam kelajuan rendah atau sederhana untuk memudahkan anda sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
2.Elak dari membrek secara mendadak (emergency brake)
Seandainya anda masih boleh mengawal kenderaan, elak dari menggunakan brek secara mendadak. Ia boleh mengundang kecelakaan dengan kenderaan di belakang mungkin melanggar anda.
3.Elak dari cuba memotong kenderaan lain
Jika anda tingkatkan kesabaran, pasti anda dapat mengelakkan dari memotong kenderaan lain. Jarak penglihatan yang agak terhad boleh mengundang bahaya jika anda tidak dapat mengagak pergerakan kenderaan yang ingin dipotong itu atau pun kenderaan disekeliling.
4.Jarakkan kenderaan
Pastikan jarak kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan berada dalam keadaan yang selamat. Ia penting terutamanya jika kenderaan di hadapan membrek secara mengejut dan membolehkan anda sentiasa bersedia untuk mengelak daripada terlanggarnya.
5.Pastikan bilah pengilap cermin berfungsi dan ada air pembersih cermin
Ketika berjerebu, ia turut membuatkan kenderaan cepat kotor berdebu. Dan ini turut membuatkan cermin hadapan juga cepat kotor serta boleh menjejaskan lagi penglihatan anda. Jadi pastikan bilah pengilap cermin (wiper) berfungsi dengan baik serta air pembersih cermin boleh membantu membersihkan cermin bila diperlukan.
6.Nyalakan lampu
Bergantung pada keadaan jerebu, seeloknya nyalakan lampu kenderaan bagi membantu penglihatan anda dan juga pemandu lain menyedari kehadiran kenderaan anda. Elak dari memasang hazard light, sebaliknya gunakan lampu utama. Sama konsep sewaktu pemanduan ketika dalam hujan.
7.Fokuskan penglihatan pada garisan jalan
Jika jerebu sangat teruk dan menurunkan jarak penglihatan, anda masih boleh menggunakan garisan jalan sebagai panduan.
8.Bunyikan hon sekiranya perlu
Tidak perlu menekan hon secara kuat atau membabi-buta, sebaliknya hon mampu membantu pemandu lain menyedari kehadiran kenderaan anda di situ.
9.Gunakan lampu kabus untuk membantu penglihatan lebih baik
Sekiranya kenderaan anda ada lampu kabus, seeloknya anda memasangnya dan ia boleh digunakan untuk penglihatan yang lebih baik.
10.Minta bantuan penumpang di hadapan (sekiranya ada)
Jika ada penumpang bersama anda, minta bantuannya untuk sama-sama memerhatikan keadaan jalan.
11.Perlahankan (atau tutup terus) sistem audio anda
Bunyi trafik dari luar sebenarnya boleh membantu memberikan panduan jika jarak penglihatan anda terjejas akibat jerebu. Contohnya, jika sistem audio kuat berbunyi, jika ada kenderaan lain yang membunyikan hon (atas kes kecemasan dan sebagainya), pasti anda kurang mendengarnya. Malah anda juga boleh mengagak jarak kenderaan lain berhampiran anda dengan hanya mendengar bunyi yang terhasil dari kenderaan terbabit.
12.Berhenti di kawasan yang selamat
Jika anda tidak yakin untuk meneruskan pemanduan, berhenti di kawasan yang selamat. Elakkan berhenti di lorong kecemasan mahu pun ruang yang terhad untuk anda memarkir kenderaan. Seeloknya berhenti di kawasan rehat yang disediakan di lebuhraya atau pun mana-mana yang selamat.
13.Gandakan fokus pemanduan anda
Ini paling penting! Tidak kira apa jua keadaan yang dihadapi, gandakan fokus pemanduan anda. Elak dari menggunakan telefon bimbit, atau leka bersembang dengan penumpang. Pastikan anda sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
14.Pastikan kenderaan anda sentiasa berada dalam keadaan yang baik
Bertambah sadis jika kenderaan anda breakdown atau tersadai di tepi jalan kerana mengalami kerosakan. Jadi pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku.
15.Dapatkan bantuan
Jika anda benar-benar tidak yakin untuk terus memandu, anda juga boleh mendapatkan bantuan kenalan untuk mengambil anda/atau memandukan kenderaan anda. Atau pun dapatkan bantuan peronda lebuhraya yang boleh membantu anda untuk memandu arah (guide) agar anda boleh memandu hingga di kawasan yang lebih selamat.
Semoga ia dapat membantu anda mempertingkatkan lagi keselamatan ketika memandu dalam musim berjerebu ini.
Sumber : Paultan
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.