Foto: BBC Arabic
Museum Agung Mesir yang terletak megah di bawah bayangan Piramid Agung Giza akhirnya membuka pintunya kepada umum pada Sabtu, 1 November.
Projek gergasi yang mengambil masa lebih dua dekad ini menampilkan lebih 70,000 artifak, termasuk harta karun legenda Firaun muda Tutankhamun yang kebanyakannya belum pernah dipamerkan kepada dunia.
Bangunan seluas 120 hektar ini dua kali lebih besar daripada Muzium Louvre di Perancis dan menelan kos pembinaan sekitar AS$1.2 bilion, sebahagian besar dibiayai oleh pinjaman dari Japan International Cooperation Agency.
Menurut Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly, pembukaan muzium ini dianggap sebagai ‘hadiah Mesir kepada dunia’ dan diharap dapat mengangkat semula imej serta ekonomi negara itu melalui pelancongan dan kebudayaan.
Profesor Salima Ikram dari Universiti Kaherah berkata keindahan Mesir purba tidak pernah pudar dan sentiasa mempesonakan manusia sejak ribuan tahun lalu.
Katanya, pembukaan muzium ini bukan sekadar untuk pelancongan tetapi sebagai usaha mengembalikan semangat kebanggaan rakyat Mesir terhadap warisan nenek moyang mereka.
Acara perasmian turut dihadiri 60 pemimpin dunia termasuk Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier dan Raja Philippe dari Belgium. Ia juga diisytiharkan sebagai cuti umum di Mesir dan disiarkan secara langsung di TikTok serta di skrin besar seluruh negara.
Antara tarikan utama ialah topeng emas, takhta dan lebih 5,000 artifak yang ditemukan dalam makam Tutankhamun pada tahun 1922 oleh ahli arkeologi British, Howard Carter.
Foto: BBC Arabic
Buat pertama kalinya, semua harta tersebut akan dipamerkan di satu lokasi. Kurator Muzium Manchester, Dr Campbell Price, berkata pameran Tutankhamun akan menjadi tumpuan utama pengunjung namun bahagian lain muzium juga menampilkan koleksi luar biasa termasuk patung Ramses Agung berusia lebih 3,200 tahun dan kapal upacara Raja Khufu yang dianggarkan berusia 4,600 tahun.
Tokoh arkeologi terkenal, Zahi Hawass, menyifatkan pembukaan muzium ini sebagai simbol penguasaan semula rakyat Mesir terhadap sejarah dan warisan mereka. Menurutnya, sudah tiba masa ahli arkeologi Mesir sendiri mengetuai kerja-kerja ekskavasi dan penyelidikan, bukan lagi bergantung kepada pakar luar.
Namun, isu harga tiket menjadi perhatian apabila bayaran masuk untuk rakyat Mesir ditetapkan pada 200 pound Mesir (sekitar RM70), manakala pelancong asing dikenakan 1,200 pound (sekitar RM422). Bagi segelintir rakyat tempatan, harga itu masih dianggap mahal. Profesor Ikram berpendapat muzium ini sepatutnya menjadi ruang untuk semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan berada.
Selain ruang pameran, muzium ini turut menempatkan makmal penyelidikan moden di mana pakar tempatan dan antarabangsa akan meneruskan kajian terhadap peninggalan purba. Menurut Hawass, masih banyak rahsia yang belum diterokai di bawah padang pasir Mesir.
“Kita baru menemui 30 peratus daripada monumen kita, selebihnya masih tersembunyi di bawah pasir,” katanya.
Dengan pembukaan muzium terbesar di dunia purba ini, Mesir kini melangkah ke era baru arkeologi, bukan sekadar mempamerkan sejarah, tetapi menghidupkan kembali warisan tamadun yang pernah menjadi pusat dunia.
Sumber : BBC Arabic
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.