Foto: mStar
Aktiviti menunggang gajah ketika melancong sering menjadi tarikan utama, khususnya di negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Myanmar dan Kemboja. Ramai pelancong, termasuk dari Malaysia, menjadikannya sebagai antara aktiviti 'wajib cuba' untuk pengalaman eksotik.
Namun, di sebalik kegembiraan bergambar di atas belakang gajah, tersembunyi kisah pilu yang jarang diketahui kisah penderaan dan penganiayaan terhadap haiwan ini demi hiburan manusia.
Insiden menyayat hati melibatkan kematian seekor anak gajah akibat digilis lori pada 11 Mei lalu telah mencetuskan semula perbincangan mengenai etika dalam pelancongan haiwan.
Menurut Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali, seorang doktor veterinar dan aktivis kebajikan haiwan, penderaan terhadap gajah dalam industri pelancongan bukan sahaja berlaku secara fizikal, malah turut meninggalkan kesan psikologi yang mendalam.
“Ramai tak sedar, gajah bukan direka untuk membawa beban di atas belakang seperti kuda. Tulang belakang mereka sangat sensitif, dan beban berterusan termasuk peralatan pelana dan berat pelancong, boleh menyebabkan kecederaan kekal,” jelas beliau.
Kesan Fizikal yang Serius
Antara kesan fizikal utama adalah kerosakan struktur tulang belakang dan sendi akibat bebanan berat serta kekerapan aktiviti menunggang dalam sehari. Tambahan pula, kebanyakan pusat pelancongan menggunakan peralatan seperti bullhook (cangkuk tajam) untuk 'mengawal' haiwan ini. Luka akibat tusukan atau pukulan alat tersebut sering menjadi punca jangkitan dan trauma kepada gajah.
Lebih menyedihkan, apabila tidak 'bertugas', haiwan ini sering dirantai dalam jangka masa panjang, menghadkan pergerakan mereka dan menyumbang kepada masalah otot, kekejangan, dan kemurungan.
Penderitaan Mental dan Psikologi
Gajah merupakan haiwan yang sangat sosial, cerdas dan mempunyai hubungan kekeluargaan yang kuat. Dalam industri pelancongan, anak-anak gajah biasanya diambil dari ibunya dan melalui proses kejam yang dikenali sebagai phajaan yang satu bentuk latihan mematahkan semangat yang melibatkan penderaan berterusan, kurungan, dan kelaparan.
“Mereka diajar untuk patuh dengan hukuman, bukan kasih sayang. Sebab itu ramai gajah dalam industri ini mengalami trauma jangka panjang,” ujar Dr. Salehatul.
Gajah-gajah ini menunjukkan tanda tekanan melalui tingkah laku stereotipik seperti menghayun badan, menggigit sangkar atau mengulangi gerakan yang sama secara obsesif semua ini petanda keresahan dan kebosanan melampau.
Apa Tindakan Kita sebagai Pelancong?
Kesedaran awam memainkan peranan penting dalam menghentikan kitaran penderaan ini. Dr. Salehatul menasihati agar pelancong bijak memilih destinasi dan aktiviti, serta menyokong pusat konservasi yang mengutamakan kebajikan haiwan, bukannya mengeksploitasi mereka.
“Kalau sayang haiwan, jangan naik gajah. Lawatlah pusat pemulihan atau sanctuary sah yang tidak memaksa haiwan melakukan aksi atau membawa pelancong,” tambahnya.
Pelancongan beretika kini semakin mendapat perhatian global, dan masyarakat disarankan untuk tidak menjadi penyumbang kepada industri yang membina keuntungan di atas penderitaan makhluk lain.
Sumber: mStar Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.