Foto: Utusan Malaysia
Pelakon senior tanah air, Datuk Hilal Azman, mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Filem Asia Pasifik ke-61 menerusi lakonannya dalam filem Memori. Kemenangan bersejarah itu diumumkan dalam acara kemuncak yang berlangsung di Macau, China pada Februari lalu.
Hilal atau nama penuhnya Nor Hilal Abdullah, yang kini berusia 62 tahun, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu anugerah luar jangka, apatah lagi setelah lebih empat dekad mencurah bakti dalam industri lakonan.
“Syukur Alhamdulillah, ini merupakan rezeki yang sangat besar buat saya. Tidak pernah saya sangka, selepas 46 tahun dalam industri, saya akhirnya diberi peluang merasai kemenangan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui media pada sidang media tayangan perdana filem Memori yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur malam Selasa.
Menurut Hilal, kemenangan tersebut menjadi lebih bermakna apabila mempertimbangkan barisan pencalonan yang turut menampilkan pelakon-pelakon ternama dari pelbagai negara Asia seperti Jepun, China dan Filipina.
“Pencalonan kami bukan calang-calang. Ada pelakon hebat dari Jepun, Filipina dan China, tetapi Memori juga yang dipilih. Saya sangat terharu,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai pengalaman menyaksikan sendiri filem Memori di layar perak buat kali pertama, Hilal melahirkan rasa kagumnya terhadap prestasi dua pelakon utama lain dalam filem berkenaan, iaitu Hisyam Hamid dan Diana Danielle.
“Lakonan Hisyam dan Diana memang luar biasa. Walaupun mereka bukan pelakon utama secara teknikal, mutu persembahan mereka setaraf dengan saya. Kalau boleh, saya mahu bahagikan anugerah ini kepada tiga dan berikan sedikit kepada mereka, kerana masing-masing menunjukkan mutu lakonan yang sangat tinggi,” katanya.
Dalam Memori, Hilal memegang watak Hussain, seorang lelaki warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer. Bagi menghayati watak tersebut secara mendalam, beliau mendedahkan bahawa beliau telah merujuk rakaman video mendiang bapa kepada pengarah filem tersebut yang turut menghidap penyakit sama.
“Pengarah filem memberikan saya rakaman video arwah bapanya yang menunjukkan bagaimana beliau bercakap, berjalan, dan juga ketika beliau menjerit. Malah ketika saya melakonkan babak menjerit, pengarah terpaksa membuka headphone kerana terlalu sebak dan menangis, katanya babak itu sangat menyentuh kerana mengingatkan pengalaman peribadi yang pernah dilaluinya,” ujar Hilal.
Tambah beliau lagi, pengalaman hampir lima dekad dalam industri serta bimbingan daripada sembilan orang guru lakonan sepanjang kariernya telah membantunya untuk mengolah dan menghidupkan watak tersebut dengan baik.
Sebagai makluman, filem Memori telah meraih lebih daripada 20 anugerah di pelbagai festival filem antarabangsa, termasuk pengiktirafan seperti Filem Terbaik, Filem Tahun Ini, Pengarah Terbaik, Suntingan Terbaik serta Penerbit Terbaik.
Filem yang diterbitkan oleh Da Huang Pictures itu turut mendapat penghormatan dan sambutan hangat di festival filem terkemuka dunia seperti di Los Angeles, New York, Mexico, Berlin, Tokyo, Singapura, China dan Filipina.
Filem Memori yang turut menampilkan Diana Danielle dan Hisyam Hamid akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 31 Julai 2025.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.