
Seorang ibu yang tidak berputus asa mencari anaknya di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Turkiye.
Dalam tempoh tiga hari, Muna Abdul Razak, 38, berulang alik sejauh 200 meter dari lokasi penempatan sementera ke bangunan kediamannya yang runtuh di Antakya.
Muna tanpa berputus asa mencari anak sulungnya, Munir Abdul Razak, 17, dan anak bongsu, Majid, 13, yang nasib mereka tidak diketahui sama ada hidup ataupun telah meninggal dunia.
Ada ketika harapan seorang ibu musnah apabila pihak pasukan mencari dan menyelamat memberitahu bahawa kebarangkalian anak-anaknya untuk hidup adalah tipis memandangkan struktur bangunan setinggi tujuh tingkat itu musnah.
Bangunan kediaman di sebelahnya juga turut menghempap perumahan Muna.
Menurut Muna, dia tidak berputus asa kerana mendapat petunjuk bahawa anak-anaknya masih hidup.
"Saya bermimpi bahawa anak saya memberi tahu mereka selamat dan disebabkan itu saya cuba mencari mereka walaupun dihalang pihak berkuasa ekoran kawasan itu berbahaya.
"Setiap hari tidur saya tidak lena. Nak makan pun tidak mampu. Saya asyik terkenangkan mereka," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah saudaranya di bandar ini.
Dalam tempoh 3 hari, suaranya hilang kerana setiap masa menjerit nama anak-anaknya tak kira siang atau malam dengan suhu mencecah -10 darjah Celsius.
"Berkat kesabaran dan tidak putus asa serta dibantu dengan petunjuk Allah, anak saya terselamat. Mereka hanya mengalami kecederaan ringan.
"Mereka terperangkap di dalam bilik, di bahagian yang sempit akibat runtuhan dinding dan siling batu," katanya.
Ketika kejadian, dia bersama suami Nazim Abdul Razak, 42, dan anak kedua, Yamil, 15, tidur di ruang tamu manakala Munir serta Majid tidur di dalam bilik.
"Kami bertiga sempat melarikan diri tetapi Munir dan Majid tidak berjaya kerana dinding rumah di tingkat lima telah runtuh," katanya.
Sebaik Munir dan Majid diselamatkan, Muna gagal menahan air mata sambil meluahkan rasa syukur kepada Allah swt kerana mengabulkan doanya.
Sumber : Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.