
Foto: AP
Di saat siren amaran bergema di seluruh Israel menandakan amaran serangan peluru berpandu dari Iran, jutaan manusia berpusu-pusu mencari perlindungan. Namun, di sebalik panik dan ketakutan itu, satu kebenaran pahit tersingkap iaitu tidak semua nyawa dianggap sama berharga.
Bagi komuniti Palestin yang memiliki kewarganegaraan Israel, sekitar 21 peratus daripada jumlah penduduk negara, saat genting itu mendedahkan jurang diskriminasi yang selama ini tersembunyi di bawah permukaan. Ketika roket mula menghujani langit, pintu-pintu tempat perlindungan awam sepatutnya terbuka kepada semua. Namun bagi sebahagian mereka, pintu itu tertutup bukan kerana ancaman musuh, tetapi kerana sikap jiran sendiri.
Samar al-Rashed, seorang ibu tunggal bersama anak perempuannya yang berusia lima tahun, berlari menuju tempat perlindungan di bandar Haifa. Namun, dia dihentikan. Bukan oleh undang-undang. Bukan oleh pegawai keselamatan. Tetapi oleh seorang jiran Yahudi yang memandangnya dengan jijik dan menghalangnya hanya kerana dia bertutur dalam bahasa Arab.
“Dia pandang saya dan kata, ‘Ini bukan untuk kamu,’” luah Samar, dalam temu bual yang menyayat hati.
Insiden ini bukan satu kes terpencil. Di bandar Acre, Haifa dan beberapa kawasan lain, insiden serupa dilaporkan. Mohammed Dabdoob, seorang pemilik kedai telefon, mendapati tempat perlindungan berkod ditutup walaupun dia menjerit meminta tolong dalam bahasa Ibrani.
Beberapa saat kemudian, peluru berpandu meletup berhampiran. Kaca pecah, jeritan kedengaran, namun tiada siapa membuka pintu.
Pusat Undang-Undang melaporkan bahawa lebih 65 undang-undang di Israel secara langsung atau tidak langsung mendiskriminasi warga Palestin. Kemuncaknya ialah penggubalan Undang-Undang Negara-Bangsa pada 2018 yang secara rasmi menetapkan Israel sebagai ‘negara bagi orang Yahudi sahaja’ dan meletakkan rakyat bukan Yahudi termasuk warga Palestin yang sah di tangga kedua dalam sistem kenegaraan.
Dalam masa aman, diskriminasi itu terselindung di sebalik dasar dan birokrasi. Tetapi apabila konflik meletus, wajah sebenar sistem itu muncul dengan jelas termasuk dalam bentuk yang paling menyakitkan iaitu penafian hak untuk hidup.
Dalam suasana krisis, tempat perlindungan sepatutnya menjadi simbol keselamatan tanpa diskriminasi. Tetapi realitinya, tempat itu menjadi garis pemisah antara siapa yang dianggap layak dilindungi dan siapa yang dianggap asing walaupun memiliki kerakyatan yang sama.
Bukan hanya sekatan tempat perlindungan. Palestin-Israel turut berdepan penahanan hanya kerana hantaran media sosial, sekatan pergerakan yang tidak dikenakan kepada Yahudi-Israel dan layanan berbeza dalam kemudahan awam.
Ramai kini mula bersuara. Mereka tidak hanya takut pada roket dari Iran, tetapi juga kepada sistem yang menolak mereka saat paling memerlukan.
“Nyawa kami seolah-olah tiada nilai,” kata seorang penduduk Nazareth yang juga tidak dibenarkan masuk ke tempat perlindungan awam.
Kisah Samar dan Mohammed bukan sekadar cerita peribadi ia adalah gambaran nyata bagaimana diskriminasi sistemik meresap hingga ke peringkat paling asas, hak untuk hidup. Dalam dunia moden yang kononnya menghargai hak asasi dan kesaksamaan, kejadian-kejadian seperti ini menjadi tamparan hebat kepada nilai kemanusiaan sejagat.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.