
Foto: Tiktok
Memandangkan kita masih di bulan Syawal, jamuan Hari Raya semestinya ada di mana-mana. Ada yang mengambil kesempatan ini untuk mengadakan rumah terbuka di samping mengeratkan tali silaturrahim sesama saudara-mara dan sahabat handai.
Begitu juga dengan pihak sekolah yang turut meraikan kemeriahan Syawal dengan mengadakan jamuan untuk para pelajar.
Baru-baru ini tular, satu video di TikTok perkongsian seorang pendidik yang dikenali sebagai cikgu Wan Mimi atau @mimijklmnopqrst yang berkongsi suasana meriah sambutan Hari Raya di sekolah tempat dia mengajar.
Lazimnya, murid-murid akan membawa makanan hidangan raya dari rumah dan berkongsi makanan tersebut bersama rakan-rakan dan cikgu di dalam kelas. Namun, video berkenaan menunjukkan murid-murid dihidangkan dengan pelbagai makanan yang disusun secara buffet.
Lebih mendapat perhatian, buffet tersebut lengkap dengan pelbagai seksyen makanan seperti kiosk lemang, ketupat, rendang, aneka kuih-muih, minuman, makanan Barat, nasi dan lauk-pauk, satay, serta kiosk aiskrim yang menjadi tumpuan ramai.

Foto: Tiktok
Menariknya,cikgu-cikgu sendiri turun padang membantu menyendukkan makanan, menuangkan minuman, dan menghidangkan aiskrim kepada murid-murid. Layanan mesra ini bukan sahaja menggembirakan anak-anak, malah turut mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan warga pendidik dalam menyantuni mereka.
Difahamkan, jamuan tersebut merupakan hasil sumbangan daripada PIBG, warga pendidik serta ibu bapa murid sekolah berkenaan.
Rata-rata warganet memuji inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah, terutamanya selepas beberapa tahun kebelakangan ini timbul isu-isu berkaitan penganjuran jamuan Hari Raya di sekolah.
Usaha sebegini bukan sahaja menyemarakkan semangat Syawal, malah membina kenangan manis buat anak-anak yang diraikan dengan penuh meriah dan kasih sayang.
Sumber: Tiktok
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.