Baru-baru ini, tular di media sosial apabila sebuah video memaparkan kilat menyambar menara jam Abraj Al-Bait yang dikenali sebagai Menara Jam Makkah.

Malah, ribut petir dan hujan lebat melanda Makkah dan kawasan sekitarnya secara tiba-tiba pada waktu Maghrib, semalam.
Memetik laporan Berita Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang (waktu tempatan) ketika para jemaah yang sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib dilihat cemas akibat ditiup angin kencang.
Penghadang di pekarangan Masjidil Haram turut diterbangkan oleh angin kuat di kawasan sekitar.
Menurut seorang jemaah Malaysia, Zubir Mohd Yunus, ribut kuat disusuli hujan ais berlaku ketika beliau dalam perjalanan dari Taif menuju ke Makkah.
"Rombongan bas kami terpaksa berhenti beberapa kali kerana keadaan berbahaya.
"Bagaimanapun, kami selamat tiba di Makkah jam 8.30 malam. Keadaan di kota Makkah ditenggelami air hujan dan jalan begitu sesak," katanya.
Namun, para penduduk juga menyifatkan ribut petir itu antara yang terburuk selepas kejadian ribut yang menyebabkan tragedi kren tumbang pada tahun 2015.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.