
Di tengah arus digital yang serba moden, sesuatu yang klasik sering kali mencuri perhatian ramai. Baru-baru ini, sekeping kad jemputan perkahwinan pada tahun 1963 kembali tular di media sosial, bukan saja kerana rekaannya yang ringkas dan klasik, tetapi juga kerana butiran lengkap yang jarang kita lihat pada kad kahwin hari ini seperti menyatakan pekerjaan pengantin!
Kad jemputan ini berasal dari majlis perkahwinan Che’ Khadijah Jamid, yang tertera sebagai Guru Dewasa Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak, serta Enche’ Osman Yeop, seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Teluk Anson (kini Teluk Intan). Maklumat ini bukan sahaja memberi identiti pasangan, tetapi juga memberikan gambaran tentang kehidupan dan zaman ketika itu di mana pekerjaan merupakan sebahagian penting dalam memperkenalkan diri kepada tetamu.

Perkara menarik tentang kad ini ialah cara maklumat disusun secara teratur siap menyatakan waktu jamuan diadakan dari 1 hingga 3 petang manakala bersanding pula dijadualkan pada pukul 4 petang.
Ini menunjukkan bagaimana majlis perkahwinan pada era tersebut dirancang dengan teliti dan santai, berbeza dengan tren masa kini yang sering memulakan majlis lebih awal.
Selain itu, gaya penulisan Bahasa Melayu lama dengan istilah seperti ‘Enche’ dan ejaan klasik memberi rasa nostalgia yang kuat, seolah-olah membawa kita kembali ke era 60-an, satu zaman yang penuh dengan adat serta cara hidup yang unik.
Tularnya kad ini telah memancing pelbagai reaksi daripada netizen, ada yang kagum dengan betapa ringkas, padat dan penuh makna setiap maklumat yang ditulis malah, ramai juga yang terharu apabila mengetahui bahawa pengantin perempuan dalam kad itu masih sihat di usia hampir 90 tahun, menambahkan lagi nilai sentimental kepada dokumen sejarah ini.
Ramai yang berpendapat bahawa kad seperti ini bukan sekadar jemputan, tetapi juga dokumen bersejarah yang menyimpan kisah budaya, bahasa dan kehidupan masyarakat Melayu lebih 60 tahun lalu.
Mungkin daripada situ, kita boleh belajar untuk menghargai keindahan tradisi lama dan menjadikan kad perkahwinan masa kini bukan hanya cantik, tetapi juga penuh makna dan kenangan yang tidak mudah dilupakan.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.