Foto: Harian Metro
Pelawak dan pelakon senior, Sathiya, selamat menjalani pembedahan pemotongan kaki kirinya di Hospital Ampang baru-baru ini selepas berdepan komplikasi kesihatan akibat penyakit kencing manis dan masalah saraf.
Menurut anak sulungnya, Amani, keadaan bapanya kini stabil namun masih perlu dipantau rapi berikutan masalah tekanan darah tinggi.
“Ayah dah okay, cuma tekanan darah masih tinggi. Pembedahan pun berjalan lancar. Doktor nasihat supaya kawal pemakanan, elak makanan bergula dan lakukan senaman ringan,” katanya ketika dihubungi media.
Faktor Kesihatan Jadi Punca Pembedahan
Amani menjelaskan, keputusan untuk memotong kaki Sathiya dibuat selepas saraf pada bahagian tersebut tidak lagi berfungsi, selain penyakit kencing manis yang telah dihidapi bapanya sejak lebih 10 tahun lalu.
Dua Rakan Artis Menziarah
Dalam pada itu, Amani turut mendedahkan hanya dua rakan artis yang hadir menziarahi Sathiya selepas pembedahan iaitu DPM Jegan dan Caca Raja Lawak.
“Selain daripada itu, hanya ahli keluarga terdekat yang datang. Tak pasti sama ada rakan artis lain tahu mengenai keadaan ayah atau tidak,” ujarnya.
Kos Rawatan & Sokongan Keluarga
Mengenai kos rawatan, Amani memaklumkan pihak keluarga masih belum mengetahui jumlah keseluruhan caj perubatan, malah belum menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak.
Beliau menegaskan kesihatan Sathiya menjadi keutamaan keluarga, namun tetap menyokong sekiranya bapanya mahu kembali aktif dalam bidang lakonan.
“Kami mahu ayah sihat dahulu. Kalau beliau masih mahu berlakon kerana minat, kami tetap akan sokong,” jelasnya.
Reaksi Keluarga
Mengulas reaksi awal keluarga selepas mengetahui keadaan Sathiya, Amani mengakui mereka terkejut namun reda dengan ketentuan Tuhan.
“Pertama kali tahu memang terkejut, tapi kena terima. Jika kesihatan ayah benar-benar pulih dalam sebulan atau tiga, ada kemungkinan beliau akan menggunakan kaki palsu.
“Namun semuanya bergantung pada tahap kesihatan, rawatan, senaman dan pemakanan ayah,” katanya.
Terdahulu, pada awal September lalu, Sathiya memaklumkan pembedahan pemotongan kaki mungkin tidak perlu dilakukan. Namun selepas jangkitan semakin serius, pembedahan akhirnya terpaksa dijalankan.
Sumber: Gempak
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.