Bahana bermain mercun, seorang kanak-kanak perempuan melecur sebahagian badan ketika bermain bunga api dan mercun di Kampung Senara, Kubur Panjang.
Kira-kira jam 10.30 malam, kejadian berlaku apabila mangsa, Nur Zatil Hidayah Mohd. Tarmizi dipercayai disambar api sehingga melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badan.

Mangsa difahamkan bermain bunga api dan mercun bersama dua abangnya sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada pihak Hospital Pendang pada pukul 2.45 pagi ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, pihaknya mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api dan mercun di hadapan rumah.
Difahamkan, ibu bapa mangsa pula berada di dalam rumah dan dikatakan sedang menonton televisyen.
“Tiba-tiba pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan jeritan mangsa dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” katanya.
Tambahnya, bapa mangsa bergegas mengambil sebaldi air lalu menjirus pada badan anaknya itu dan membawa mangsa ke Hospital Pendang.
“Kita masih menjalankan siasatan berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu disyaki terbakar selepas disambar api daripada pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.
“Kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita merakam keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku,” jelasnya.
Pihak hospital masih belum memaklumkan sebarang laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau mercun.
Sumber: Kosmo Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.