
Foto ihsan polis
Susulan penahanan suspek membawa kepada penemuan polis terhadap seorang mayat kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) berusia enam tahun yang mati dipukul, dibunuh dan mayatnya disumbat ke dalam guni sebelum dibuang ke dalam semak.
Itulah tindakan kejam seorang lelaki yang merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa.
Mayat mangsa ditemui dalam sebuah guni di Kampung Keranji, Bau, Sarawak selepas suspek yang memandu polis ke lokasi mangsa dibuang.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon, terdahulu pada hari yang sama, suspek ditahan di sebuah premis menjual kereta di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching bagi membantu siasatan kehilangan mangsa.
Laporan polis dibuat oleh ibu mangsa pada 21 Disember lalu tentang kehilangan anaknya. Terdapat juga laporan awal daripada orang awam pada hari yang sama mengenai seorang wanita dan anak perempuannya yang enggan pulang kerana takut dipukul oleh teman lelakinya.
Menurut Poge, berdasarkan soal siasat, suspek mengakui memukul mangsa hingga tidak bernyawa, sebelum membuang mayatnya di kawasan semak di Kampung Keranji.
“Pada jam 6.45 petang (Rabu), suspek menunjukkan kepada polis tempat mayat kanak-kanak malang itu dibuang," katanya.
Menurutnya, ibu mangsa yang berusia 34 tahun turut dibawa ke lokasi dan mengesahkan mayat anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang mangsa.
Suspek dipercayai membunuh mangsa kira-kira lima hari sebelum laporan polis dibuat.
"Sehubungan itu, polis turut menahan ibu mangsa untuk membantu siasatan."
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk prosedur bedah siasat. Kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber : Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.