
Foto: Instagram
Kes kematian remaja, Allahyarham Zara Qairina yang dipercayai berpunca daripada perbuatan buli terus mencetuskan gelombang kemarahan dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan selebriti tanah air. Pelbagai pihak tampil menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap hukuman yang dikenakan ke atas suspek, yang dianggap terlalu ringan dan tidak setimpal dengan kehilangan nyawa seorang anak kecil.
Adik kepada usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa iaitu Ameera Khan antara yang meluahkan kekecewaan berhubung keputusan tersebut. Dalam hantaran di Instagram, Ameera atau lebih mesra disapa Little Miss Khan itu menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang terlibat amat mengecewakan dan tidak adil. Menurutnya, kehilangan nyawa seorang kanak-kanak akibat buli bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang ringan, sebaliknya wajar dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
“Ini sangat tidak adil. Seorang kanak-kanak kehilangan nyawa kerana dibuli, tetapi hukumannya terasa terlalu kecil. Apabila perkara seperti ini berlaku, ia membuatkan kita tertanya-tanya apa yang sedang berlaku dengan negara kita.
“Keadilan sepatutnya melindungi mereka yang tidak mampu melindungi diri sendiri, tetapi sebaliknya ia kelihatan seperti melindungi mereka yang mempunyai kuasa, wang dan pengaruh,” tulis Ameera.
Beliau menegaskan isu ini bukan hanya melibatkan arwah Zara seorang, sebaliknya ia mencerminkan hak setiap kanak-kanak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada ancaman buli. Ameera turut memberi peringatan bahawa kesakitan yang ditimbulkan akibat perbuatan zalim sebegini akan kembali menghantui, walaupun kadangkala bukan kepada pelaku, tetapi kepada orang yang mereka sayangi.
Selain Ameera, pelakon popular Datin Intan Najuwa juga tampil menyatakan pendirian tegas agar keadilan dapat ditegakkan untuk arwah Zara. Menerusi perkongsiannya di Threads, Intan menekankan bahawa setiap nyawa perlu dibela seadilnya tanpa kompromi.
“Keadilan buat Zara. Adik kecil ini berhak mendapat keadilan yang tulus. Yang salah tetap salah dan mesti dihukum, bukan sekadar untuk membalas tetapi sebagai peringatan agar tiada lagi anak kecil yang menjadi mangsa,” ujar pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu.
Dalam masa sama, Intan turut menitipkan doa agar kebenaran berpihak kepada arwah Zara dan seluruh keluarganya. Beliau berharap keadilan dapat ditegakkan agar kejadian yang menimpa remaja berusia 13 tahun itu menjadi iktibar kepada masyarakat.
Kes kematian Zara sebelum ini menggemparkan negara selepas beliau ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan asrama sebelum meninggal dunia sehari kemudian. Tragedi tersebut menimbulkan persoalan serius tentang isu keselamatan pelajar di sekolah berasrama dan keberkesanan peraturan dalam menangani gejala buli.
Pada 8 Ogos lalu, kubur Allahyarham telah digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan. Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudiannya memutuskan untuk mendakwa lima remaja bawah umur yang dipercayai terlibat dalam kes ini. Mereka dituduh mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menggunakan atau membuat perkataan yang mengancam, kesat atau menghina.
Semua suspek yang dihadapkan ke mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut. AGC menjelaskan bahawa pertuduhan berkenaan tidak akan mengganggu proses inkues yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Kes Zara Qairina kini menjadi simbol perjuangan masyarakat dalam menuntut agar undang-undang terhadap perbuatan buli diperkasakan. Suara selebriti seperti Ameera Khan dan Intan Najuwa sekali lagi mencerminkan keresahan rakyat Malaysia yang menuntut agar keadilan ditegakkan, bukan sahaja untuk arwah Zara, tetapi juga demi keselamatan dan masa depan semua anak muda di negara ini.
Sumber: Instagram, Threads
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.