Kalau sebelum ini, memang enak sungguh minum secawan teh untuk minum petang. Tapi bulan puasa ni, kita nikmati pada waktu berbuka ataupun sahur sahaja lah!
Tapi tahukah anda, teh hitam ada banyak kelebihan dan kebaikan pada tubuh badan kita.
Menurut beberapa kajian, teh hitam mengandungi kandungan kimia semula jadi yang dapat membantu memberikan kebaikan kepada tubuh badan.
1. Kebaikan pada usus
Kebaikan teh hitam, ia mengandungi polifenol yang dapat membantu menjaga usus supaya sihat. Ia juga menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan menghalang pertumbuhan bakteria 'jahat' seperti salmonella.
Sifat teh hitam anti-mikrob yang membunuh bahan berbahaya dan meningkatkan bakteria usus serta imuniti dengan memperbaiki lapisan saluran pencernaan.
2. Kurangkan risiko strok
Dalam satu kajian mengenai kebaikan teh hitam terhadap 74,961 sampel selama 10 tahun berdasarkan tabiat minum teh berkenaan sebanyak tiga hingga empat cawan boleh mengurangkan risiko strok sehingga 32 peratus.
Manakala, dalam satu lagi kajian yang dilakukan terhadap lebih 190,000 peserta, ia mendapati bahawa mereka yang mengambil tiga cawan teh boleh mengurangkan risiko 21 peratus untuk menghidapi strok berbanding mereka minum kurang satu cawan teh sehari.
3. Kurangkan kandungan gula dalam darah
Pengambilan teh hitam kosong tanpa gula, kebaikannya menyamai pengambilan teh hijau yang dikatakan mampu menurunkan kandungan gula dalam darah.
Teh hitam dikatakan dapat meningkatkan penggunaan insulin dalam badan dan satu kajian tabung uji mendapati teh hitam meningkatkan aktiviti insulin 15 kali ganda.
4. Kurangkan risiko kanser
Polifenol yang terkandung dalam teh hitam dapat membantu mencegah kelangsungan hidup sel barah. Menurut satu kajian, ia dapati bahawa kesan kandungan bahan itu membantu mengatur pertumbuhan sel barah dan mengurangkan pengembangan sel baru.
Satu penemuan lain mendapati polifenol membantu mengatasi penyebaran tumor payudara.
5. Dapat tingkatkan fokus
Kandungan asid amino, L-theanine dapat meningkatkan aktiviti alfa di otak. Ia membantu memberi fokus yang baik. Meskipun teh mengandungi kafein seperti kopi namun kombinasi bahan itu dengan L-theanine memberi konsentrasi yang lebih stabil.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.