“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah petang kelmarin ketika majlis berbuka puasa bersama Anggota Pertahanan Awam (APM) di Menara Kawalan Pantai Merdeka, dan nampak dia tak seceria sebelum ini.
“Masa tu dia dalam waktu kerja tetapi dia beritahu nak balik awal sebab katanya dia teringatkan anaknya selepas bermain dengan anak saya di majlis itu,” kata Pegawai Bersekutu APM, Kapten Bersekutu APM, Kapten Bersekutu (PA) Muhamad Ridzuan Osman.
Menurutnya, dia mengenali arwah Muhammad Faiz Rozaini, 31, ketika pandemik Covid-19 pada 2020 ketika terbabit dalam pengurusan jenazah dan mereka menjadi akrab. Arwah seorang yang peramah, baik dan rajin mengerjakan tugasnya.
“Saya terima gambar menerusi kumpulan Whatsapp, ada kemalangan pada 2.50 petang semalam di Jalan Kuala Ketil menghala ke Bukit Selambau membabitkan sebuah Perodua Kancil.

“Dalam gambar itu ada pakaian seragam APM tertera nama Faiz dan mangsa masih dalam kereta. Masa tu saya dah tak sedap hati dan hubungi kawan-kawan di APM Kuala Muda.
“Lepas tu saya tengok balik gambar mangsa tu memang arwah Faiz dan terus ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wajdi, Bukit Selambau.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan 3 petang tersebut melibatkan dua buah kenderaan, iaitu sebuah Perodua Kancil dengan sebuah lori.
Pemandu kereta mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.