Khemah berkualiti rendah yang dibekalkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencetuskan rasa tidak puas hati golongan peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Ini ekoran puluhan khemah musnah selepas hujan lebat dan angin kuat yang melanda kawasan tersebut.
Wakil peniaga, Nora Dollah berkata, khemah disediakan musnah dan mengakibatkan barang jualannya rosak teruk. Hal itu juga membuatkan dia terpaksa menanggung kerugian.
“Keadaan khemah perniagaan yang tidak bertali dan dipasang tanpa langkah keselamatan yang mencukupi. Keadaan ini menyebabkan khemah mudah diterbangkan angin dan rosak, seperti berlaku hari ini.
“Kejadian ini bukan sahaja menjejaskan perniagaan kami, malah membahayakan keselamatan peniaga dan pengunjung,” katanya ketika ditemui wartawan.
Nora mewakili peniaga-peniaga lain turut meluahkan rasa kesal kerana tiada tindakan segera daripada pihak berkuasa walaupun sudah dua jam berlakunya kejadian tersebut.
“Kami berharap supaya DBKL mengambil tindakan segera bagi memastikan peniaga di Jalan TAR dapat menjalankan perniagaan dalam keadaan yang lebih selamat dan terjamin.
“DBKL juga perlu menyediakan khemah yang lebih kukuh serta pemasangan yang selamat untuk mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Hasil tinjauan wartawan mendapati kesemua khemah yang musnah, dibersihkan sendiri oleh para peniaga. Segelintir mereka terpaksa akur akan kerugian yang harus ditanggung kerana barang jualan terjejas dan rosak.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.