
Foto: Facebook
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 tidak akan dapat diakses oleh pengguna jalan raya semasa tempoh penutupan jalan sementara, pada 15 April dan 17 April, sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam hantaran Facebook rasminya hari ini memaklumkan balai berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta KLIA Terminal 2 akan ditutup kepada kenderaan.
"Terminal 2 hanya boleh diakses melalui KLIA Transit dari Terminal 1. Penumpang yang tiba di Terminal 2 perlu menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 untuk perjalanan seterusnya," menurut MAHB.
Penutupan jalan sepenuhnya akan dilaksanakan pada 15 April bermula 6 petang hingga 7 malam dan pada 17 April dari 8.50 pagi hingga 9.50 pagi melibatkan Lebuh KLIA, Lebuhraya ELITE, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang, Jalan P5.
MAHB menasihatkan semua penumpang untuk merancang perjalanan mereka ke dan dari lapangan terbang di luar waktu penutupan jalan bagi mengelakkan kelewatan.
Bagi mereka yang perlu memandu, laluan alternatif yang disarankan adalah melalui Lebuhraya ELITE (E6) > keluar di Tol Serenia > Kota Warisan (Bulatan Masjid) > Jalan KLIA 1 > Bulatan Charterfield > Terminal 1 KLIA (balai berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta).
MAHB memohon kerjasama semua pihak untuk mematuhi arahan dan merancang perjalanan dengan teliti bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh lawatan rasmi ini.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.