Diva Indonesia, Krisdayanti bakal kembali menyinari pentas Malaysia dengan Konsert Cinta Nostalgia, yang akan menemui peminat pada 22 Jun ini.
Setelah hampir lapan tahun tidak mengadakan konsert berskala besar di negara ini, penyanyi ‘Mencintaimu’ itu hadir dengan sebuah produksi yang lebih istimewa, menjanjikan persembahan yang bukan sekadar hiburan tetapi juga perayaan cinta dan kenangan.

Menurutnya, konsert ini bukan sahaja dari segi muzik tetapi juga pengalaman keseluruhan buat para peminat yang sudah lama menyokongnya selama lebih 3 dekad dalam industri.
Konsert yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, ini bukan sekadar menampilkan Krisdayanti seorang, tetapi turut mendapat sentuhan magis daripada Erwin Gutawa, pengarah muzik tersohor yang terkenal dengan susunan orkestra yang mampu menghidupkan semula lagu-lagu klasik dengan nafas baharu.
Justeru, konsert ini bukan hanya akan membawa nostalgia, tetapi juga mencipta kenangan baharu buat peminat yang hadir.
Dalam pada itu, selaku pihak penganjur, JB Production turut mengumumkan bahawa mereka akan memberikan hadiah eksklusif kepada penonton yang mengenakan pakaian bertemakan cinta pada malam konsert tersebut.
Inisiatif ini bukan sahaja untuk menambah kemeriahan suasana, tetapi juga bertujuan menghidupkan tema cinta dan nostalgia yang menjadi tunjang utama persembahan ini.
Dari lagu-lagu awal seperti ‘Menghitung Hari’ hingga deretan karya lain yang menjadi runut bunyi kehidupan ramai orang, KD terus menjadi simbol keindahan muzik yang merentas zaman.
Para peminat yang ingin menyaksikan kehebatan seorang diva yang terus bersinar ini boleh mendapatkan tiket konsert yang mula dijual pada 23 Februari 2025 melalui UberTickets.

Dengan gabungan vokal bertenaga, susunan muzik yang luar biasa, dan pengalaman konsert yang lebih interaktif bersama peminat, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti pastinya bukan sekadar satu persembahan, tetapi sebuah malam yang akan kekal dalam ingatan buat selama-lamanya.
Sebelum ini, kemunculan Krisdayanti menerusi rancangan terbitan Astro, Gegar Vaganza 2024 duet bersama Liza Aziz, telah menghebohkan media sosial.
Persembahan itu membuktikan bahawa beliau masih mempunyai aura tersendiri meskipun usianya bakal memasuki lima dekad pada Mac ini.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.