Foto: HibGlam
Kumpulan nasyid legenda tanah air, Rabbani bakal mengadakan konsert berskala besar yang dinamakan Konsert Intifada Rabbani pada 20 September ini bertempat di Ideal Live Arena, Petaling Jaya, Selangor. Konsert yang akan bermula pada jam 8.30 malam dan berlangsung selama dua jam ini merupakan antara projek terbesar mereka dalam usaha memperkukuhkan lagi seni persembahan Islamik dalam arus perdana hiburan tanah air.
Rabbani, yang sinonim dengan lagu-lagu nasyid kontemporari seperti Intifada dan Pergi Tak Kembali, tampil dengan gandingan penuh tujuh ahli kumpulan termasuk Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie. Kesemua mereka bersedia memberikan persembahan terbaik menerusi susunan muzik baharu dan konsep persembahan yang lebih segar dan kreatif.
Menurut Azadan selaku ketua kumpulan, tiada tekanan besar dirasai meskipun konsert ini antara yang paling besar pernah mereka jayakan. Malah, beliau menyifatkan ini sebagai satu peluang untuk mengangkat lagi nilai-nilai Islamik dalam bentuk persembahan moden yang mampu menarik minat pelbagai peringkat usia.
"Alhamdulillah, kami tidak berada di bawah tekanan kerana Rabbani dari dulu lagi sudah terbiasa dengan konsert dan program berskala besar. Fokus kami adalah untuk menyampaikan mesej Islam dengan cara yang menarik, kreatif dan dekat dengan jiwa masyarakat," katanya.
Azadan turut menjelaskan bahawa latihan intensif sedang dijalankan di studio bersama semua ahli kumpulan. Mereka bukan sahaja memperkukuhkan vokal secara bersama, malah turut memberi perhatian terhadap susunan lagu dan elemen pentas yang lebih dramatik.
Foto: Instagram
“Lagu-lagu kami memang mencabar dari segi vokal, jadi kami adakan latihan dalam studio dan berbincang sesama sendiri. Walaupun tiada guru vokal khusus, semua ahli Rabbani saling membantu dan berkongsi ilmu dalam sesi latihan,” katanya.
Antara kelainan yang bakal dibawakan dalam konsert kali ini adalah penggabungan elemen lakonan di atas pentas. Beberapa pelakon terkenal tanah air akan turut serta menjayakan segmen dramatik, bagi memberikan kesan emosi yang lebih mendalam kepada penonton. Walaupun nama-nama pelakon itu masih dirahsiakan, Azadan mengesahkan perbincangan dan pemilihan sudah dijalankan.
Satu lagi perkara menarik mengenai Konsert Intifada Rabbani adalah pendekatan mereka yang mematuhi syariat Islam. Dalam usaha menjaga adab dan batasan yang ditetapkan dalam Islam, pihak penganjur telah membahagikan tempat duduk kepada tiga zon berbeza iaitu Zon Umum untuk keluarga, Zon Muslimah khusus buat wanita, dan Zon Muslim untuk lelaki. Langkah ini diambil bagi memberi keselesaan serta menjaga adab dalam suasana hiburan yang berlandaskan syariat.
Azadan turut mendedahkan bahawa mereka sebelum ini pernah menerima pelbagai tawaran daripada beberapa penganjur untuk mengadakan konsert besar, namun terpaksa menolaknya kerana syarat yang tidak selari dengan prinsip Rabbani.
“Kami pernah ditawarkan konsert besar sebelum ini, tapi kami pilih penganjur yang memahami prinsip kami. Selagi syarat dan asas tidak menepati nilai Islamik, kami tidak akan setuju. Kami nak jaga integriti dan mesej Rabbani itu sendiri,” jelasnya.
Konsert ini dianjurkan oleh Universe Gateway dan turut menampilkan penyanyi jemputan antaranya kumpulan Brothers, Yabang serta Aeydan yang bakal memeriahkan suasana dengan gandingan suara yang harmoni.
Tiket konsert telah mula dijual sejak 31 Julai lalu dan boleh dibeli menerusi platform Ticket2U dan Fantopia.io. Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan memandangkan sambutan yang dijangka tinggi daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Konsert Intifada Rabbani bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah wadah dakwah yang menyatukan elemen seni, spiritual dan budaya dalam persembahan yang sesuai untuk seisi keluarga.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.