
Foto Hiasan
Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan ternakan bagi ibadah korban tahun ini adalah mencukupi dan melebihi permintaan di seluruh negara.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, jumlah bekalan sehingga Mac 2025 melibatkan 38,804 ekor lembu dan kerbau, manakala 30,167 ekor kambing dan bebiri turut disediakan. Jumlah ini dijangka mampu menampung sepenuhnya keperluan ibadah korban bagi tahun ini.
“Justeru, jumlah keseluruhan bekalan ternakan adalah dianggarkan mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun 2025,” jelas KPKM.
Bagi melancarkan proses ibadah korban,27 rumah sembelih milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah bersiap sedia untuk beroperasi. Tambahan pula, sebanyak 40 rumah sembelih swasta berlesen turut akan menyokong pelaksanaan sembelihan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Langkah ini diambil bagi memastikan semua proses korban dilakukan mengikut piawaian kebersihan, kesihatan dan syariah.
Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban di luar rumah sembelih, seperti di Kawasan masjid, surau atau taman perumahan, mereka perlu mengemukakan permohonan permit beserta dokumen yang berkaitan kepada pihak berkuasa.
Permohonan ini bertujuan memastikan kawalan kebersihan dan keselamatan, selain menepati keperluan undang-undang serta garis panduan yang telah ditetapkan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menggalakkan semua pihak, sama ada penganjur ibadah korban, masyarakat atau penternak untuk merujuk kepada garis panduan penyembelihan yang telah disediakan. Ini penting bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan secara teratur, selamat dan sah dari sudut syariah dan kesihatan awam.
Jaminan bekalan yang mencukupi ini diharap dapat memberikan ketenangan kepada umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah korban pada Aidiladha 2025. Dengan kerjasama antara agensi kerajaan, rumah sembelih dan masyarakat, ibadah korban tahun ini dijangka dapat dijalankan dengan lebih lancar dan berkesan.
Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan permit dan garis panduan penyembelihan, orang ramai disarankan untuk melayari laman web rasmi DVS atau menghubungi pejabat veterinar negeri masing-masing.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.