
Foto: Instagram (kempendidikan)
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan jelas berhubung makanan dan minuman yang dilarang dijual di sekolah. Langkah ini bukan sahaja bertujuan memastikan murid mendapat nutrisi yang baik, malah bagi melindungi kesihatan generasi muda daripada risiko penyakit seperti obesiti, diabetes dan masalah kesihatan lain.
Mengikut Peraturan Makanan 1985, makanan yang telah luput tarikh serta makanan berbentuk permainan adalah dilarang sama sekali. Ini penting bagi mengelakkan keracunan makanan serta tabiat makan yang tidak sihat.
Kentang goreng, burger, sosej, nugget, bebola ikan atau ayam sering menjadi pilihan kanak-kanak, namun semua ini tergolong dalam makanan proses yang tidak baik jika diambil kerap. Begitu juga dengan makanan ringan seperti kerepek kentang dan keropok udang yang tinggi garam serta perisa tiruan.

Foto Hiasan
Gula-gula, coklat, makanan berkrim dan bersalut gula, termasuk aiskrim serta produk konfeksi ais adalah antara punca utama pengambilan gula berlebihan dalam kalangan murid. Ia boleh menjejaskan kesihatan gigi dan meningkatkan risiko obesiti.
Mi segera, bihun, ramen, bubur segera dan kuetiau segera turut berada dalam senarai larangan kerana kandungan bahan pengawet serta perencah yang tinggi MSG. Begitu juga makanan dijeruk yang lazimnya mengandungi garam berlebihan.

Foto Hiasan
Minuman berperisa, isotonic, tenaga, herba berkarbonat, kordial manis, serbuk 3 dalam 1 serta krimer juga tidak dibenarkan. Kandungan gula yang tinggi memberi kesan buruk pada kesihatan murid. Teh dan kopi pula hanya dibenarkan untuk guru, bukan untuk pelajar
Makanan atau minuman beralkohol adalah dilarang sama sekali di sekolah kerana bercanggah dengan undang-undang, nilai moral serta agama.
Kanak-kanak merupakan pelapis masa depan negara. Justeru, memastikan mereka mendapat pemakanan seimbang di sekolah adalah satu tanggungjawab besar. Langkah KPM ini wajar dipuji kerana dapat:
-Membentuk gaya hidup sihat sejak kecil
-Mengurangkan masalah obesiti kanak-kanak
-Mendidik murid membuat pilihan makanan yang lebih bijak

Foto: Bernama
Kesimpulannya, sekolah bukan sahaja tempat menimba ilmu, tetapi juga medan terbaik untuk memupuk budaya pemakanan sihat. Dengan adanya garis panduan ini, ibu bapa dan guru dapat sama-sama memastikan anak-anak membesar dengan sihat, cergas dan berdaya saing.
Sumber: Instagram (kempendidikan)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.