Susulan tragedi menyayat hati yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan untuk menyalurkan segala bentuk bantuan yang diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan berimpak tinggi itu.

Foto: Arkib
“Salam takziah untuk keluarga mangsa kemalangan yang turut membabitkan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris awal pagi tadi. Sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini. KPT akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan,” katanya ringkas.
Tragedi itu berlaku kira-kira jam 1.10 pagi tadi apabila sebuah bas yang membawa pelajar UPSI bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di kawasan berbukit berhampiran Tasik Banding, Gerik. Bas tersebut difahamkan dalam perjalanan pulang dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, selepas menghadiri program luar kampus.
Menurut laporan awal Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak, 13 mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.
Dalam menghadapi detik sukar ini, KPT menyatakan komitmen penuh untuk memastikan setiap aspek kebajikan pelajar dan keluarga mangsa diberi perhatian segera. Bantuan termasuklah pengurusan jenazah, sokongan psikososial, serta rawatan dan penjagaan kepada mangsa yang masih dirawat di hospital.
Beberapa pegawai daripada KPT dan UPSI telah dikerah ke lokasi kejadian dan hospital terlibat bagi membantu mengurus situasi serta menyelaras bantuan.
Sumber: Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.