Foto: Bernama
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menolak dakwaan seorang pelajar cemerlang STPM tidak ditawarkan tempat di Universiti Malaya (UM) meskipun memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman, menjelaskan pelajar tersebut mendapat merit keseluruhan 99.90% , iaitu PNGK 4.00 dan markah kokurikulum 9.90. Namun, kedudukannya berada di tangga ke-1,127 daripada 2,291 calon layak bagi program perakaunan, sedangkan UM hanya menyediakan 85 tempat.
“Walaupun memperoleh PNGK 4.00, beliau masih di belakang pemohon lain yang meraih merit penuh 100%. Kegagalan ini berpunca daripada kapasiti yang amat terhad,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Azlinda menegaskan semua pelajar dengan PNGK 4.00 dijamin mendapat tempat di universiti awam. Dalam kes ini, pelajar berkenaan telah ditawarkan ke sebuah universiti penyelidikan terkemuka, yang merupakan pilihan kelimanya.
Beliau menjelaskan sistem UPUOnline menjana keputusan berdasarkan merit, yang telah lama digunakan secara telus dan adil bagi menempatkan pelajar ke universiti awam.
Menurutnya, kekeliruan timbul apabila pelajar tersebut mendakwa menerima tawaran awal melalui saluran terbuka (SATU) UM. Namun, Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman, menegaskan universiti hanya mengeluarkan pratawaran atau conditional offer, bukannya tawaran rasmi. Tawaran sebenar hanya dikeluarkan selepas tarikh rayuan UPUOnline tamat, mengikut merit dan kapasiti kursus.
Bagi membantu calon yang gagal mendapat pilihan utama, KPT telah membuka kaunter konsultasi rayuan UPUOnline di Putrajaya sehingga 12 September ini.
Terdahulu, isu ini menjadi perhatian selepas MCA melaporkan seorang pelajar cemerlang PNGK 4.00 tidak mendapat tempat di UM.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.