Foto: Majoriti
Kuala Lumpur kini tersenarai sebagai bandar ke-12 terbaik di dunia untuk pelajar, menurut laporan terbaharu Senarai Bandar Pelajar Terbaik QS 2026 yang diumumkan pada Selasa, 15 Julai.
Pencapaian ini menandakan kali pertama ibu negara Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 teratas sejak indeks tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2014.
Dengan markah keseluruhan sebanyak 90.3, Kuala Lumpur muncul sebagai bandar kedua terbaik di Asia Tenggara, hanya satu tangga di belakang Singapura yang berada di tempat ke-11. Di peringkat Asia pula, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat, mengatasi beberapa bandar utama lain termasuk Beijing (13), Taipei (14) dan Hong Kong (17).
Ketua Pegawai Eksekutif QS, Jessica Turner, menyifatkan peningkatan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hasil usaha berterusan bandar ini dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pendidikan tinggi bertaraf global.
“Peningkatan berterusan ini, yang berlaku hampir setiap tahun sejak 2016, menunjukkan usaha berterusan bandar ini dalam meletakkan dirinya sebagai destinasi pengajian global utama,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh Malay Mail.
QS Best Student Cities menyenaraikan bandar-bandar yang mempunyai sekurang-kurangnya 250,000 penduduk dan sekurang-kurangnya dua universiti yang tersenarai dalam QS World University Rankings. Penilaian dilakukan berdasarkan enam kategori utama: daya tarikan, kemampuan, kerencaman pelajar, aktiviti majikan, kedudukan universiti dan suara pelajar.
Berdasarkan laporan tersebut, prestasi terlemah Kuala Lumpur adalah dalam kategori Daya Tarikan, meskipun berjaya naik lapan anak tangga untuk berada di kedudukan ke-81 tahun ini. Dalam kategori Kemampuan, Kuala Lumpur mengalami penurunan sembilan anak tangga, manakala dalam kategori Suara Pelajar, ia turun dua anak tangga berbanding tahun lalu.
Sementara itu, Shah Alam yang juga menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi utama, mencatatkan penurunan ketara apabila jatuh 21 anak tangga ke kedudukan ke-144 selepas mencatatkan penurunan skor dalam lima daripada enam kategori penilaian.
Di peringkat global, Seoul dinobatkan sebagai bandar terbaik untuk pelajar, merampas kedudukan teratas daripada London, yang sebelum ini mendominasi tempat pertama selama enam tahun berturut-turut. Tokyo pula muncul sebagai bandar pelajar kedua terbaik dunia. Penurunan kedudukan London ke tempat ketiga banyak dipengaruhi oleh penurunan dalam kategori Kemampuan, yang menyaksikan ia jatuh 11 anak tangga.
Sumber: Mediacorp
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.