Foto: Agensi
Satu abad, seribu cerita. Itulah gambaran paling tepat buat sosok bernama Tun Dr Mahathir Mohamad, negarawan ulung yang hari ini genap berusia 100 tahun.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, Tun M bukan sahaja dikenang sebagai pemimpin berwawasan, malah figura yang meninggalkan impak besar terhadap hala tuju pembangunan negara.
Dibesarkan Dengan Disiplin dan Semangat Ilmu
Anak bongsu daripada sembilan beradik ini membesar dalam suasana penuh disiplin, hasil didikan keluarga pendidik. Beliau menerima pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) sebelum melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.
Kerjaya awal sebagai doktor kerajaan mendedahkan beliau kepada realiti hidup rakyat, khususnya kaum Melayu yang serba kekurangan ketika itu. Pengalaman ini menjadi pemangkin kepada perjuangan beliau dalam dunia politik.
Dua Kali Perdana Menteri, Dua Zaman Berbeza
Tun M dilantik sebagai Perdana Menteri keempat pada 16 Julai 1981, menggantikan Tun Hussein Onn. Setelah bersara pada tahun 2003, beliau membuat kejutan apabila kembali ke tampuk kuasa pada 2018 sebagai Perdana Menteri ketujuh, menjadikan beliau pemimpin tertua di dunia yang memegang jawatan berkenaan ketika itu.
Antara Legasi Terbesar: Dari Dasar ke Pencakar Langit
Antara legasi terpenting Tun M adalah Dasar Pandang Ke Timur dan Wawasan 2020, yang menjadi tonggak pemodenan Malaysia. Di bawah kepimpinannya, pelbagai projek mega muncul sebagai simbol kemajuan negara, termasuk:
- Menara Berkembar Petronas (KLCC)
- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
- Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baharu
- Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
- Projek kereta nasional – Proton
- Penganjuran Formula 1 di Litar Sepang
Krisis dan Ketahanan
Era kepimpinan beliau juga menyaksikan cabaran getir, khususnya ketika krisis kewangan Asia 1997–1998. Namun pendekatan ekonomi luar arus perdana yang diambil berjaya menstabilkan ekonomi negara tanpa bergantung kepada dana antarabangsa.
Masih Aktif di Usia 100 Tahun
Meskipun usia mencecah satu abad, Tun M masih aktif berkongsi pandangan melalui buku, forum, dan media sosial. Beliau terus menjadi rujukan dalam pelbagai isu dasar, politik, dan kemasyarakatan.
Dr Al-Amril Othman, Pensyarah Kanan UKM, menyifatkan gaya hidup disiplin, pemakanan seimbang dan penggunaan masa secara produktif sebagai rahsia ketahanan fizikal dan mental Tun M.
“Kalau kita berada dalam kapal terbang, mungkin ramai yang berehat, tetapi Tun M memilih untuk membaca dan menulis. Inilah kelebihan yang jarang kita lihat pada orang lain,” katanya.
Pemikir yang Mengubah Wajah Negara
Sementara itu, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian dari USM menyifatkan Tun M sebagai seorang pemikir strategik yang bukan sahaja merangka dasar, malah merealisasikan visi secara praktikal.
“Beliau mengubah Malaysia daripada negara sedang membangun kepada pesat membangun melalui projek mega yang fizikalnya mengubah pemetaan Malaysia di mata dunia,” ujarnya.
Tambahnya, semangat ‘Malaysia Boleh’ dan Wawasan 2020 telah menyuntik keyakinan baharu dalam kalangan rakyat terhadap kemampuan negara sendiri.
Selamat Hari Jadi Tun Dr Mahathir Mohamad
Semoga terus diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus menyumbang kepada pembangunan pemikiran bangsa dan negara.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.