Foto: Facebook
Di tengah-tengah hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur, muncul satu kisah yang membuktikan bahawa kasih sayang tidak semestinya ditunjukkan kepada manusia semata-mata.
Kisah ini bermula apabila seorang pengguna Facebook, Azrul Shah Mohd Isa, berkongsi satu insiden yang berlaku di Restoran Sambal Hijau, Kampung Sungai Penchala yang merupakan tempat makan yang sudah dikenali ramai dengan pelbagai juadah lauk pauknya.
Azrul pada awalnya hairan melihat seorang pelanggan tetap di restoran tersebut yang setiap hari datang membeli dalam jumlah besar bukan satu atau dua, tetapi sehingga 30 ketul ayam goreng.
Namun yang paling mengejutkan ialah apabila lelaki itu meminta ayam-ayam goreng itu dimasukkan terus ke dalam plastik besar, bukan dibungkus dalam bungkusan lauk seperti biasa.
“Saya mula-mula pelik, kenapa tak bungkus macam biasa. Rupanya, ayam goreng tu semua bukan untuk dia makan pun tapi untuk kucing-kucing jalanan,” kongsi Azrul di Facebook.
Rutin lelaki tersebut sudah menjadi kebiasaan dimana selepas membeli ayam, dia akan ke kawasan sekitar TTDI dan Kampung Sungai Penchala untuk memberi makan kepada kucing-kucing terbiar yang hidup bebas di jalanan.
Perkongsian ini pantas menjadi tular dan meraih perhatian netizen. Ramai yang tersentuh dengan tindakan lelaki tersebut yang sanggup mengorbankan wang dan masa setiap hari hanya untuk memastikan haiwan-haiwan terbiar tidak kelaparan.
“Besar modal tu bang… semoga Allah murahkan rezeki abang,” tulis seorang pengguna.
Lebih ramai netizen tampil berkongsi kisah masing-masing, ada yang turut memberi makan kepada haiwan jalanan dengan makanan kucing kering (kibble), dan ada juga yang mula terinspirasi untuk menyimpan sedikit bekalan dalam kereta sekurang-kurangnya dapat membantu jika ternampak kucing atau anjing lapar ketika dalam perjalanan.
Walaupun mungkin nampak kecil, tindakan seperti ini memberi impak besar kepada makhluk lain yang turut berhak untuk hidup dengan baik. Dalam dunia yang semakin sibuk dan mementingkan diri, kisah seperti ini menjadi peringatan lembut bahawa kebaikan boleh hadir dalam bentuk yang paling sederhana seperti seketul ayam goreng yang dimaksudkan untuk seekor kucing lapar di tepi jalan.
Ramai berharap agar lebih ramai individu tampil dengan keprihatinan sebegini, dan mungkin, jika kita tak mampu membeli 30 ketul ayam setiap hari, kita masih mampu memberi sedikit ruang empati dan belas kasihan kepada haiwan-haiwan yang tak mampu bersuara.
Sumber: Facebook
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.