
Foto: Astro Awani
Misteri kehilangan seorang wanita akhirnya terungkap apabila polis menemui rangka manusia di sebuah bilik di Bantul, Indonesia, pada 20 Mac 2025.
Mangsa, EDP yang berusia 23 tahun, dilaporkan maut akibat tindakan teman lelakinya, Muhammad Rafy Ramadhan (MRR), berusia 24 tahun, selepas mereka bertengkar tentang bakso goreng yang terbakar.
Ketua Unit Hubungan Masyarakat Polis Bantul, AKP I Nengah Jeffry Prana Widnyana, menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku pada 25 September 2024.
Pada waktu kejadian, mangsa sedang memasak bakso namun meninggalkan dapur sebentar untuk menyapu halaman rumah. Dalam masa yang sama, suspek yang sedang mencuci pinggan menyedari bahawa bakso yang digoreng telah hangus.
Peristiwa ini mencetuskan kemarahan mangsa, yang kemudian memukul suspek menggunakan penyapu. Akibatnya, suspek bertindak balas dengan menekan leher mangsa menggunakan kedua-dua tangannya.
“Walaupun mangsa merayu untuk dilepaskan, suspek tetap tidak menghentikan tindakannya. Mangsa yang cuba melawan akhirnya terjatuh ke lantai,” kata Jeffry dalam kenyataannya.
Suspek yang kemudiannya memeriksa keadaan mangsa mendapati bahawa mangsa sudah tidak bernyawa, dengan wajahnya yang berubah kebiruan dan terdapat buih dari mulutnya.
“Selepas kejadian tersebut, suspek menyembunyikan mayat mangsa di sebuah bilik sebelum memindahkannya ke rumah sewa di Dawang, Padukuhan Manding, Bantul.
“Mayat itu ditutup dan dipindahkan ke bilik yang paling jauh di rumah tersebut,” jelas Jeffry.
Dua minggu selepas itu, bau busuk mula memenuhi rumah sewa tersebut. Suspek berpindah ke rumah rakannya di Condongcatur, Sleman, dan kembali ke rumah sewa pada 7 Disember 2024 untuk menemui tubuh mangsa yang telah menjadi rangka.
Bimbang rahsia terbongkar, suspek mengumpulkan barang-barang peribadi mangsa, termasuk rambut dan pakaian, ke dalam beg plastik hitam sebelum membawanya ke Condongcatur dan Kaliurang, Sleman.
Pada 20 Disember 2024, dia membawa rangka mangsa ke rumah keluarga EDP di Donotirto, Kretek, dan membakar barang-barang peribadi mangsa seperti selimut, pakaian, dokumen dan barang-barang lain.
Bagi mengelakkan syak, suspek menyamar dengan membalas mesej menggunakan telefon bimbit mangsa, untuk meyakinkan ahli keluarga dan rakan-rakan bahawa mangsa masih hidup. Namun, kebimbangan mula timbul apabila suspek sering menggunakan motosikal milik mangsa tanpa kelibat wanita itu.
Akhirnya, laporan mengenai kehilangan wanita tersebut yang telah hilang beberapa bulan akhirnya membawa kepada siasatan pihak polis. Pada 20 Mac 2025, sekitar jam 6 petang waktu tempatan, polis menemui rangka yang dipercayai milik mangsa.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.