Malang tidak berbau, seorang lelaki berusia 29 tahun terpaksa menahan kesakitan apabila jari telunjuk tangan kirinya tersangkut cincin.
Pada mulanya, beliau membawa dirinya ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah untuk mendapatkan bantuan menanggalkan cincin tersebut. Namun, pihak hospital tidak dapat membantunya.
Disebabkan keadaan jari mangsa sudah bertukar menjadi warna kebiruan dan atas rasa simpati melihat mangsa menahan kesakitan, doktor terus menghubungi pihak bomba supaya memotong cincin tersebut.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.32 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya yang diketuai Ramli Saad tiba di lokasi jam 10.35 malam.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati cincin masih melekat pada jari telunjuk di tangan kiri lelaki berkenaan dan gagal dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memotong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.