Foto: TS Media
Pasangan selebriti popular Indonesia, Luna Maya dan Maxime Bouttier, kini sah bergelar suami isteri selepas selamat melangsungkan akad nikah pada Rabu, 7 Mei 2025.
Majlis pernikahan berlangsung dalam suasana tenang dan penuh keintiman di resort mewah COMO Shambhala Estate yang terletak di Banjar Begawan, Desa Melinggih Kelod, Payangan, Gianyar, Bali.
Upacara yang bermula sekitar pukul 15.30 WITA itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan rapat pasangan tersebut.
Sebelum majlis akad nikah, Luna dan Maxime turut menjalani adat istiadat tradisional Jawa termasuk upacara siraman yang berlangsung pada hari sebelumnya, Selasa, 6 Mei 2025.
Dalam majlis tersebut, Luna tampil anggun mengenakan kain batik dan kebaya putih sambil melalui simbolik proses memandikan diri sebagai lambang pembersihan diri menjelang hari bergelar isteri.
Foto: TS Media
Siraman dilakukan oleh ibu bapa dan ahli keluarga terdekat, manakala Maxime turut menjalani sesi sungkeman dan siraman sebagai tanda hormat kepada keluarganya dan bersedia memasuki alam rumah tangga.
Majlis akad nikah mereka dikendalikan dalam suasana tenang dan ‘sakral’ dengan latar semula jadi hutan tropika Bali yang menghijau. Kedua-dua mempelai tampil serasi dengan busana tradisional berwarna putih bagi wanita dan warna hitam bagi pengantin lelaki.
Walaupun majlis diadakan secara tertutup dan sederhana, pasangan ini turut berkongsi momen indah itu dengan para peminat melalui siaran langsung di saluran YouTube Luna Maya dan TS Media.
Sekadar info, Luna dan Maxime mula menjalin hubungan pada tahun 2022 dan mengumumkannya secara rasmi kepada umum pada hujung tahun itu.
Lamaran romantik berlaku di Tokyo, Jepun, pada April 2025, dan sejak itu, peminat setia mereka menantikan hari bahagia pasangan ini.
Sepanjang tempoh perhubungan, mereka sering tampil bersama dalam pelbagai acara dan mempamerkan keharmonian yang menjadi inspirasi kepada ramai.
Beberapa sahabat artis turut dilihat menitipkan ucapan tahniah dan doa agar perkahwinan Luna dan Maxime dilimpahi kebahagiaan serta berkekalan hingga akhir hayat.
Pasangan ini juga turut berterima kasih atas semua sokongan serta doa yang diterima sepanjang perjalanan cinta mereka.
Dengan termeterainya ikatan pernikahan ini, Luna Maya dan Maxime Bouttier memulakan lembaran baharu sebagai pasangan suami isteri.
Para peminat dan rakan industri hiburan pastinya menantikan detik-detik bahagia seterusnya dalam kehidupan baru mereka bersama.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.