
Foto: Instagram
Setelah sekian lama mendiamkan diri, Rose Aliza Sutrisno, madu kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin, akhirnya menafikan dakwaan yang mengatakan dia dan anaknya menjadi punca perceraian suaminya dengan isteri keduanya itu.
Penafian tersebut dibuat menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook, di mana Rose menegaskan bahawa keputusan perceraian itu adalah atas pertimbangan suaminya sendiri, dan bukan atas desakan mereka seperti yang didakwa oleh Nora.
Rose menjelaskan, selama ini dia memilih untuk berdiam diri bagi menjaga maruah suami serta nama baik madu pertama, namun apabila timbul dakwaan yang mengaitkan dirinya dan anaknya dalam proses perceraian itu, dia merasakan perlu untuk memberikan penjelasan.
"Selama ini, saya memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu membuka aib sesiapa dan menjaga maruah suami serta nama baik madu saya.
Namun, apabila tersebar dakwaan bahawa saya dan anak memaksa suami menceraikan madu serta tulisan lama saya digunakan untuk memburukkan saya, maka saya terpanggil untuk menjelaskan perkara sebenar," jelas Rose dalam hantaran tersebut.
Rose turut mendakwa bahawa Nora sengaja memancing emosinya dengan memuat naik semula tulisan-tulisan lama yang ditulisnya pada 2019, ketika dia baru mengetahui bahawa suaminya berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuannya selama setahun.
Ketika itu, Rose berkata, terdapat individu yang rapat dengan suaminya (individu yang kini sudah meninggal dunia) yang merayu agar suami menceraikan isteri keduanya atas sebab tertentu.
"Suami akhirnya akur dengan permintaan individu itu dan melafazkan talak di hadapan madu dan anak-anaknya, termasuk arwah Alif.
“Lafaz itu juga dirakam atas permintaan individu itu. Kejadian berlaku pada 2019. Malangnya, video sepatutnya disimpan dimuat naik kembali pada 12 Ogos 2024," jelas Rose.
Foto: Instagram
Selain itu, Rose turut menyangkal dakwaan bahawa terdapat panggilan telefon dari dirinya atau sesiapa selepas solat Subuh yang memaksa suaminya untuk menceraikan isteri kedua, sebagaimana yang tersebar di media sosial.
Dalam pada itu, Rose juga menafikan dakwaan bahawa anaknya, Alia, terlibat dalam pemaksaan perceraian itu.
Meskipun mengakui bahawa tulisan Alia kepada madu pada tahun 2020 agak keterlaluan, Rose menjelaskan bahawa ia ditulis dalam keadaan emosi seorang anak yang kecewa kerana ayahnya berkahwin lagi tanpa pengetahuan keluarga.
Namun, Rose menekankan bahawa Alia menyedari kesilapannya dan telah memohon maaf secara peribadi kepada madu pada September 2020.
"Tulisan itu sudah lama dipadam, tetapi ia dikitar semula oleh madu saya pada tahun ini dan dibiarkan menjadi bahan spekulasi, mencetuskan persepsi buruk seolah-olah anak saya seorang yang tidak beradab," kata Rose.
Foto: Instagram
Sebagai seorang ibu, Rose menyatakan bahawa dia bertanggungjawab untuk mempertahankan maruah anaknya daripada terus dihukum atas kesilapan yang sudah disesali.
Sebelum ini, Nora telah membuat kejutan dengan berkongsi foto papan tanda Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dan kenyataan mengenai permohonan cerai kepada suaminya.
Dalam hantaran terbaharu di Instagram, penyanyi itu mendakwa bahawa perceraian tersebut dilakukan bukan atas kerelaannya sendiri, tetapi bagi menunaikan hajat isteri pertama suaminya serta desakan anak-anak mereka.
Sumber: Facebook Rose Aliza Sutrisno
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.