
Foto: Nurhazwani Shafawani
Pelajar yang menghidap penyakit jarang dijumpai iaitu fibrous dysplasia, Nursolehah Humairah Mohamad Mazlan berasa malu sekiranya pelajar lain melihat dirinya yang sedang bertongkat datang ke sekolah.
"Kakak malu…takut orang gelak kakak pakai tongkat," rintihnya kepada ibu, Nurhazwani Shafawati Mat Roslan.
Dalam pada itu, ungkapan disusuli linangan air mata sempat dirakam ibunya menjadi tular di TikTok hingga meruntun hati warganet.
Memetik laporan Harian Metro, ibunya memberitahu bahawa dia sudah tentu hiba dan terusik dengan kata-kata Nursolehah Humairah, 9, pada hari pertama sesi persekolahan.
Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa menguatkan semangat di depan anak sulung daripada empat beradik itu.
"Seminggu sebelum itu, dia (Nursolehah Humairah) sangat bersemangat ke sekolah dan tidak sabar jumpa kawan-kawan.
"Dekat rumah pun dia gembira dan teruja, tetapi sampai sekolah agama pada pagi Isnin lalu, tiba-tiba tidak mahu keluar kereta kerana takut kawan ejek dia bertongkat.
"Waktu itu, saya sudah mula sebak tetapi terpaksa kuatkan diri kerana tidak mahu patahkan lagi semangatnya," katanya ketika dihubungi.

Foto: Nurhazwani Syafawani
Namun begitu, dia bersyukur kedukaan Nursolehah Humairah tidak berpanjangan apabila kembali bersemangat ke sekolah selepas mendengar nasihat gurunya, malah rakan juga tidak mengejek keadaan dirinya sebaliknya sangat membantunya.
Hazwani menjelaskan bahawa Nursolehah Humairah terpaksa berjalan menggunakan tongkat kerana keadaan tulang kakinya belum kuat sepenuhnya selepas menjalani pembedahan kali kedua pada penghujung Disember lalu.
"Pada usianya dua tahun, dia tiba-tiba tidak boleh berjalan dalam beberapa bulan, tetapi biopsi mengesahkan dia menghidap fibrous dysplasia yang menyebabkannya tidak boleh berjalan dengan sempurna.
"Tetapi, doktor perlu membuang tulangnya kerana tidak mahu ia merebak, jadi pembedahan pertama dijalankan pada usianya empat tahun sebelum kali kedua pada Disember lalu.
"Kini, kakinya sudah tidak sakit, tetapi doktor tidak beri memijak lagi sebab takut tulang awet yang diganti itu patah," katanya.
Hazwani turut memberitahu bahawa doktor memang ada menyediakan sijil sakit, tetapi anaknya tetap bersemangat mahu ke sekolah, lalu doktor memberikan kebenaran asalkan kelasnya (terletak) di bawah.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.