Mulai hari ini, semua masjid di Perlis dibuka sepenuhnya bagi aktiviti pengimarahan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah aktiviti pengimarahan termasuk kuliah agama, kelas pengajian dan sebagainya adalah diperkenankan bermula waktu subuh hari ini, 19 Februari.
"Semua aktiviti adalah dibenarkan dan perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup separuh muka, melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter pada setiap masa, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid dan sebagainya," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) semalam.
Baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs bertitah kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan golongan wanita turut dibenarkan hadir.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah namun begitu sebarang aktiviti jamuan makan, bermalam dan majlis sosial tidak dibenarkan seperti mana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Sumber:
Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.