Sepanjang bulan Ramadan, umat Islam tentu tidak melepaskan peluang untuk berlumba-lumba memperbanyakkan ibadah demi mencari keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT. Dari berpuasa pada siang hari hingga menunaikan solat sunat Tarawih di malam hari, setiap amalan menjadi fokus utama.
Bulan suci ini, Allah SWT melipatgandakan pahala bagi hamba-hamba-Nya, dengan salah satu malam yang paling dinanti-nantikan, iaitu malam Lailatul Qadar.
Oleh itu, tidak menghairankan apabila banyak masjid dan surau dipenuhi dengan jemaah yang menghidupkan suasana di rumah Allah dengan pelbagai aktiviti seperti membaca Al-Quran dan bersedekah.

Foto: Tangkap layar TikTok
Begitu juga suasana di Masjid Taman Semarak Nilai yang penuh ceria dengan kehadiran ramai jemaah.
Sebuah video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, @hafif_bukhari, memaparkan keceriaan para jemaah yang hadir untuk menunaikan solat sunat Tarawih.
Solat Tarawih, yang dilakukan dalam jumlah rakaat yang banyak (lapan hingga 20 rakaat), sering kali menyebabkan rasa lenguh pada anggota badan, terutamanya kaki, akibat berdiri terlalu lama.
Namun, dalam klip berdurasi 30 saat ini, para jemaah, tidak kira tua atau muda, duduk berbaris untuk melakukan aktiviti 'regangan'.

Foto: Tangkap layar TikTok
Menurut Hafif, sesi regangan ini dilakukan setiap kali selesai empat rakaat pertama solat Tarawih dan merupakan inisiatif pengerusi masjid Taman Semarak untuk meriahkan suasana.
Aktiviti ini bukan sahaja disertai oleh jemaah lelaki, malah jemaah perempuan turut serta menghidupkan suasana. Dari saf depan hingga belakang, senyuman jelas terpancar di wajah semua jemaah yang menikmati 'urutan' tersebut.
Aktiviti ringkas ini bukan sahaja membantu mengembalikan tenaga dan semangat para jemaah, tetapi juga mengeratkan hubungan ukhuwah sesama saudara Islam.
Sumber: TikTok @hafif_bukhari
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.