
Foto Hiasan
Lelaki maut dipercayai dibelasah penduduk kampung selepas mengamuk dan menikam seorang remaja dan seorang wanita di Felda Jengka 2.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 10 pagi.
Katanya, anggota Balai Polis Sungai Jerik ke lokasi sejurus menerima laporan dan mendapati lelaki berusia 57 tahun tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Terdapat kesan lebam dan kebiruan pada kedua matanya serta tangan lelaki itu juga dalam keadaan terikat," katanya dalam kenyataan media.
Wong berkata, dalam keterangannya, saksi memaklumkan lelaki terbabit mengamuk dan bertindak agresif ke atas wanita berumur 52 tahun dan anak saudaranya yang berusia 16 tahun.
"Wanita cedera akibat kesan tikaman pada perut sedalam tiga sentimeter (cm), kesan tikam pada tangan kanan dan kecederaan di bahagian dagu, manakala remaja lelaki cedera di paha kanan dengan kesan tikaman sedalam 2cm.
"Pegawai perubatan Hospital Jengka mengesahkan lelaki itu meninggal dunia, manakala mangsa wanita masih dirawat di Hospital Jengka sementara remaja mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar," katanya.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya menahan empat lelaki untuk siasatan lanjut.
"Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat. Forensik juga sudah menemui pisau digunakan dalam kejadian," katanya.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.