
Foto: Astro AWANI
Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan satu mayat yang tidak dikenali dalam keadaan tergantung di sebatang pokok dalam kawasan ladang kelapa sawit di FELDA Gunung Besout 2, Trolak, semalam.
Memetik laporan Astro AWANI, perkara itu dimaklumkan dan disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 5.13 petang selepas seorang lelaki tempatan menemui mayat berkenaan ketika sedang mencari lembu peliharaannya di kawasan tersebut.
Menurutnya, mayat berkenaan dijumpai tergantung kira-kira 10 meter dari jalan ladang utama dan berada dalam keadaan telah mereput, dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemui.
Pemeriksaan lanjut di lokasi tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuh mangsa. Namun begitu, polis turut menemui beberapa barangan berhampiran lokasi kejadian yang dipercayai berkaitan dengan si mati.
Antara yang ditemukan ialah sehelai baju dalam wanita yang terletak di dalam sebuah parit tidak jauh dari lokasi, sepasang selipar berwarna biru bersaiz 40, serta seutas rantai tradisional masyarakat India, dikenali sebagai thali, yang tergantung di leher mangsa.
Penemuan barang-barang tersebut memberi petunjuk awal bahawa si mati berkemungkinan seorang wanita daripada kaum India, namun identitinya masih belum dapat dipastikan secara rasmi.
Mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh bagi menjalani proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil laporan forensik.
Polis kini sedang berusaha mengumpul maklumat lanjut berhubung kes tersebut dan meminta bantuan orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat berkaitan kehilangan ahli keluarga atau mengenali individu yang sepadan dengan gambaran mangsa supaya segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim untuk membantu siasatan.
Pihak polis turut menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini sehingga hasil siasatan dan laporan bedah siasat lengkap diperoleh.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.