Sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin susulan ketegangan yang berlaku antara Palestin dan Israel ketika ini, Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar, Kedah dilimpahi cahaya bendera Palestin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Ainol Shaharina Sahar berkata, ia sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat negara itu yang menjadi mangsa serangan Israel.
Cahaya berwarna bendera Palestin, hijau, merah, putih dan hitam menyinari menara tersebut dan akan dipasang selama seminggu mulai Sabtu lalu sehingga 22 Mei ini.
"Sebagai salah sebuah menara ikonik di Malaysia, kami merasakan ini merupakan tanggungjawab kami untuk berkongsi kesedaran dengan rakyat Malaysia khasnya untuk terus prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan seperti ini.
"Saya juga ingin menyeru, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan saudara-saudara kita di Palestin, " katanya dalam satu kenyataan.
Seramai 181 rakyat Palestin termasuk 52 kanak-kanak dilaporkan terkorban akibat serangan udara rejim zionis ke atas Semenanjung Gaza, setakat Ahad.
Pertempuran antara penduduk Palestin dan kumpulan ekstrem Yahudi bermula Isnin lalu berpunca daripada insiden di Masjid al-Aqsa, susulan tindakan tentera Israel yang mengusir penduduk Palestin secara paksa di wilayah mereka sendiri di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.