Semalam merupakan hari yang besar bagi semua yang telah menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia 2024 (SPM) apabila keputusan secara rasminya telah pun diumumkan.
Perkongsian seorang guru yang dikenali sebagai Muslim Ismail di Facebook mencuri perhatian ramai apabila beliau menceritakan kisah di sebalik salah seorang muridnya.
Menurutnya, salah seorang muridnya itu sebelum ini hampir dibuang sekolah kerana terlalu kerap ponteng. Namun, keputusan SPMnya agak mengejutkan kerana berjaya memperoleh A- bagi subjek Landskap dan Nurseri.
Murid ini waktu tingkatan 4, hampir dibuang kerana sangat kerap ponteng, atas usaha GPK Hem dan kaunselor, dia datang semula ke sekolah. Seorang murid baik dan lurus, tiada masalah disiplin, cuma kerap tidak hadir ke sekolah.
Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya, bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh disebabkan kelemahannya untuk memahami dan mengingat.
Tapi dia suka menyanyi. Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai. Mungkin itu juga menjadi antara memori terbaiknya di alam persekolahan.
Dalam subjek landskap yang aku ajar, dia tak pernah lulus pun peperiksaan, tapi dia rajin dan ringan tulang menyiapkan tugasan. Walaupun tidak sempurna, tetapi dia berusaha. Aku tak marah pun sebab aku tau kelemahannya, dan kadang-kala bila dia ditinggalkan bas selepas tuisyen petang, waktu aku hantar pulang, sempat juga aku titip kata-kata.
Menurut Muslim, pelajar berkenaan mula berubah selepas diberi peluang menyertai kumpulan puisi dan lagu sekolah. Walaupun tidak memenangi sebarang pertandingan, penyertaan itu membuatkan pelajar tersebut kembali bersemangat untuk hadir ke sekolah dan mula merasa dihargai.
Dalam subjek landskap yang diajar oleh Muslim sendiri, pelajar itu tidak pernah lulus, namun tetap menunjukkan komitmen tinggi dalam menyiapkan tugasan. Malah, guru tersebut sering menghantarnya pulang apabila dia tertinggal bas selepas kelas tuisyen.
Hari ini dia dapat A-.
Tapi aku tak dapat jumpa dia
untuk ucap tahniah.
Dia dah pergi isnin lepas
kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks.
Awak tak banyak dosa
nanti tolong saya
kalau saya di sebelah satu lagi
pinta pada Tuhan
supaya saya diampunkan.
Namun, kebahagiaan atas pencapaian A- dalam peperiksaan bertukar menjadi duka apabila pelajar itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman selepas menjalani pembedahan apendiks, beberapa hari sebelum sempat bertemu gurunya.
Kisah ini meraih perhatian ramai warganet yang tersentuh dengan dedikasi guru dan semangat pelajar tersebut. Ia juga menjadi peringatan tentang pentingnya melihat potensi setiap anak dari sudut yang lebih luas, bukan semata-mata melalui keputusan peperiksaan.
Sumber: Facebook (Muslim Ismail)
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.