Ibu kepada Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, memberitahu bahawa tidak logik untuk anaknya yang baru berumur 19 bulan boleh sampai ke kawasan anak sungai atau masuk ke dalam hutan di tepi serta belakang rumah.
Memetik laporan Harian Metro, Azean Nur Atikah Ramley, 34, menjelaskan bahawa kehilangan anak tunggalnya itu begitu misteri kerana hanya dalam tempoh dua hingga tiga minit selepas dia masuk ke dapur, Hud Aryan sudah hilang.
"Sebaik sedar anak saya hilang, saya terus memaklumkan kepada kakak saya yang tinggal di hadapan rumah ibu saya sebelum kami terus keluar mencarinya.
“Namun, kami gagal menemui Hud Aryan dan keadaan cuaca ketika itu hujan renyai-renyai. Memang di depan rumah ibu saya ada anak sungai persendirian milik keluarga kami, kira-kira 15 meter jaraknya.
"Namun, laluan dari rumah ke anak sungai itu berbukit. Andai dia keluar dari rumah, pasti dia terjatuh sebelum sampai ke anak sungai memandangkan laluan berbukit.
"Malah, rumah adik saya terletak di tepi sungai dan ketika itu pintu rumahnya terbuka. Adik saya tidak mendengar pun suara Hud Aryan," katanya ketika ditemui di Tanah Merah, hari ini.
Dalam pada itu, Azean turut memberitahu bahawa di belakang dan tepi rumah ibunya juga terdapat hutan tebal selain kawasan berbukit, menjadikannya agak mustahil untuk anaknya masuk ke dalam hutan itu sendirian.
"Sungguh misteri kehilangan anak saya kerana hanya dalam beberapa minit, jejaknya sudah hilang. Namun, ramai ustaz atau pengamal perubatan Islam mengatakan anak saya 'disembunyikan' makhluk halus, menyebabkan sehingga kini gagal dikesan.
"Saya tiada musuh dan kehilangan anak saya juga adalah tragedi pertama di kampung ini. Anak saya memang suka air dan seorang yang aktif, namun tidak pernah mandi sendirian di kawasan berkenaan," katanya.
Menurutnya, dia sekeluarga tinggal di Kampung Bechah Laut dan setiap dua hari, mereka akan datang ke rumah ibunya bagi menemani ibunya yang tinggal sendirian.
Terdahulu, media melaporkan Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, berusia 19 bulan, dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini, 7.20 malam kelmarin.
Susulan daripada itu, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pagi ini akan menggunakan dua anjing pengesan dari unit K9.
Pada masa sama, operasi yang turut dibantu penduduk kampung itu akan diperluaskan pada hari ini, yang memasuki hari ketiga.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.