
Ketika Indonesia sedang dilanda protes besar-besaran yang berlarutan selama seminggu, satu fenomena luar biasa telah menarik perhatian ramai iaitu rakyat dari pelbagai negara telah menunjukkan sokongan padu kepada pemandu ojek dalam talian (ojol), terutamanya mereka yang masih terus bekerja di tengah kekacauan.
Fenomena ini mula mendapat perhatian ramai selepas satu ciapan tular oleh pengguna X, @sighyam, pada Sabtu, 30 Ogos 2025.

Menurut ciapan tersebut, pengguna aplikasi penghantaran makanan seperti Grab sebenarnya boleh membuat pesanan di negara lain di Asia Tenggara, termasuk Indonesia. Caranya mudah, hanya perlu menukar negara destinasi dalam tetapan aplikasi, kemudian buat pesanan seperti biasa.
Namun, yang lebih menyentuh hati adalah cara pesanan itu dilakukan. Dalam ciapan tersebut, @sighyam menasihatkan agar pengguna:
“Pilih makanan dan minuman yang mudah dikongsi. Sebelum membuat pesanan, tinggalkan arahan kepada rider ‘Tolong kongsikan makanan ini dengan rider lain di jalanan.'”
Ciapan tersebut mendapat sambutan luar biasa. Sehingga Isnin, 1 September 2025, ia telah dilihat lebih 22 juta kali, dengan ribuan reaksi positif dari seluruh dunia. Ramai warga asing berkongsi pengalaman mereka menyokong rider ojol melalui cara ini.
Sokongan luar negara ini turut memberi inspirasi kepada ramai warga Indonesia sendiri. Ramai yang mula melakukan perkara serupa iaitu dengan memesan makanan untuk dikongsi dengan rider lain sebagai tanda solidariti.
“Selamat malam, Pak. Makanan ini tidak perlu dihantar. Tolong kongsikan dengan keluarga atau rakan. Semoga sihat dan selamat di jalanan. Semoga diberi rezeki yang baik.”
Protes besar-besaran ini bermula pada 25 Ogos 2025, apabila rakyat menyerbu bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sebagai tanda bantahan terhadap elaun perumahan anggota parlimen yang mencecah Rp50 juta sebulan.
Namun, keadaan bertambah tegang selepas seorang rider ojol dilanggar oleh kenderaan Brimob (Briged Mobil Polis) ketika operasi menyuraikan penunjuk perasaan pada 28 Ogos.
Di sebalik kemarahan rakyat dan suasana tegang, tindakan warga asing dan warga tempatan yang saling membantu memberi sinar harapan. Walaupun kecil, setiap pesanan makanan yang dikongsi membawa makna yang besar.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.