Foto: Facebook
Pelakon dan penyanyi legenda, Noor Kumalasari, meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap kakaknya, penyanyi terkenal Anita Sarawak, yang sudah lama tidak ditemui sejak dilaporkan kembali secara mengejut ke Amerika Syarikat pada tahun 2011.
Dalam temu bual menerusi program audio siar kendalian Syahril A Kadir di saluran YouTube Tanah Berdaulat TV yang disiarkan semalam, Noor, kini berusia 69 tahun, tidak dapat menyembunyikan emosinya ketika menceritakan kerinduan terhadap kakak tersayang itu.
“Saya betul-betul rindukan kamu dari lubuk hati ini,” ujar Noor sambil menahan sebak.
Beliau mengimbas kenangan manis mereka sewaktu dahulu yang penuh gelak tawa dan saling memahami antara satu sama lain. Katanya, sudah lama mereka tidak berbual panjang seperti waktu dulu.
“Saya harap sangat dapat berjumpa dengannya. Saya doakan semoga Allah merahmati Anita dan suaminya, Mahathir. Semoga mereka sentiasa dalam perlindungan dan mendapat ganjaran ukhrawi yang diredai Allah,” katanya penuh tulus.
Menurut Noor, kali terakhir mereka berbual panjang adalah kira-kira dua tahun lalu. Namun, hubungan erat sejak kecil menjadikan kehilangan Anita satu kekosongan besar dalam hidupnya.
“Saya sangat rindukan dia. Kalau rakan pelakon seperti Dharma Harun Al Rashid pun saya teringin jumpa, apatah lagi kakak kandung yang begitu rapat dengan saya sejak kecil,” katanya dalam nada pilu.
Noor turut berkongsi bahawa Anita merupakan sumber kekuatannya ketika beliau pernah melalui fasa kemurungan selepas dikecam hebat oleh media berikutan persembahannya pada era 1970-an. Beliau dituduh meniru gaya nyanyian Anita dan dikritik kerana suaranya dikatakan serupa.
“Ketika itu saya berada di Singapura dan terus hubungi Anita. Dia nasihatkan saya agar tabah dan jadikan kritikan sebagai cabaran untuk terus memperbaiki diri jika benar mahu bertahan dalam dunia seni,” katanya mengenang kembali detik sukar itu.
Beliau turut menyatakan bahawa dirinya tidak dimaklumkan mengenai kepulangan mengejut Anita ke Amerika. Hanya selepas bertanya kepada seorang lagi kakak, barulah beliau diberitahu bahawa Anita sudah berangkat pulang.
Sebagai penawar rindu, Noor berkata beliau gemar memasak ayam adobo, hidangan kegemaran Anita.
Menjawab soalan terakhir Syahril mengenai kerinduan peminat terhadap dirinya, Noor yang pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di ABPBH ke-31 menyatakan rasa syukur kerana peminat tidak pernah melupakannya.
“Saya sangat berterima kasih kerana mereka masih mendoakan saya. Dunia lakonan dan nyanyian adalah kenangan manis, tetapi saya tidak berhajat untuk kembali. Namun saya sentiasa doakan kesejahteraan peminat, seperti mana mereka juga sentiasa mendoakan saya,” katanya mengakhiri temu bual dengan senyuman penuh rasa syukur.
Sumber: YouTube
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.