Foto: Instagram
Penyanyi terkenal Datuk Nora Ariffin mengesahkan bahawa hubungan antara dirinya dan suami, Dr Rushdi Ramli, masih berjalan dengan baik meskipun beliau telah memfailkan permohonan cerai pada hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Memetik laporan Berita Harian, Nora, 52, atau nama sebenarnya Wan Norafiza Ariffin, berkata keputusan itu tidak dibuat secara terburu-buru, sebaliknya dilakukan selepas mendapat pandangan daripada golongan berautoriti dalam isu rumah tangga.
“Saya tak buat keputusan ini secara semberono. Sebelum failkan perceraian, saya rujuk dulu kepada mufti, ustaz serta individu berpengalaman dalam hukum syarak,” katanya kepada media selepas prosiding.
Beliau juga menjelaskan bahawa perkara tersebut telah dibincangkan dengan anak-anak dan ahli keluarga terdekat, dan semuanya memahami keadaan yang berlaku.
Mengenai punca sebenar perceraian, Nora memilih untuk tidak mengulas lanjut, namun beliau mengakui adanya campur tangan pihak ketiga yang mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.
“Kami sudah melalui enam tahun perkahwinan yang bahagia, tetapi gangguan dari pihak ketiga yang tak boleh saya dedahkan secara terperinci menyebabkan saya terpaksa buat keputusan ini,” katanya.
Apabila ditanya sama ada suaminya ada cuba memujuk untuk mempertimbangkan semula keputusan itu, Nora menjawab secara terbuka namun berhati-hati.
“Wallahu’alam... saya tak tahu apa ada dalam hati seseorang. Buat masa ini, saya hanya lakukan apa yang sepatutnya. Selebihnya saya serahkan kepada Allah. Kalau dia nak pujuk, tunggu sahaja 6 Mei nanti.”
Tambah Nora, mereka masih tinggal serumah ketika sambutan Aidilfitri yang lalu dan turut menghadiri jemputan bersama, namun hubungan kini agak renggang dan mereka banyak membawa haluan masing-masing.
“Kami tak bermusuh, cuma sekarang saya banyak mengalah dan tak tanya lebih-lebih. Saya serahkan segalanya kepada dia,” katanya mengakhiri perbualan
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.