Foto: HibGlam
Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin, menegaskan pendiriannya untuk menuntut hak royalti lebih 200 lagu ciptaan Allahyarham suaminya, Johan Nawawi, termasuk lagu popular Sinaran, demi keadilan dan hak waris arwah.
Menurut Nora atau nama penuhnya Norafizah Ariffin, 51, perjuangan ini bukan untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya dilakukan demi anak-anaknya yang merupakan waris sah kepada karya ciptaan suaminya.
“Apabila arwah sudah tiada, saya terpaksa ambil alih segala urusan berkaitan karya. Saya perlu belajar tentang proses penerbitan lagu, yang kadangkala sangat memeningkan. Hingga kini, saya tidak pernah menerima laporan rasmi daripada mana-mana syarikat penerbitan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).
Tambah beliau, pihak MACP telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, namun masih terdapat enam syarikat penerbitan yang gagal memberi maklum balas atau penjelasan berhubung bayaran royalti. Syarikat-syarikat tersebut termasuk Warner Chappell Music, Music Works, NSR Publishing, EMI Publishing, Aony Music Publishing, Good Sound Publishing serta beberapa lagi yang belum dikenal pasti.
“Saya tidak kisah jumlah royalti itu sedikit atau banyak. Apa yang saya mahu hanyalah laporan penuh dan penjelasan. Ini adalah tanggungjawab syarikat penerbitan. Kalau tidak mampu mengurus hal seperti ini, jangan jadi penerbit,” tegasnya.
Dalam sidang media itu juga, Nora menyuarakan kebimbangan bahawa isu hak cipta sering kali diabaikan selepas pemergian pencipta asal. Lagu Sinaran contohnya, masih mendapat siaran meluas sehingga kini, namun hak royalti belum diselesaikan.
“Lagu Sinaran masih relevan dan disiarkan di pelbagai tempat. Saya mahu perkara ini membuka mata semua pihak. Adakah hak komposer hanya dihormati semasa mereka hidup sahaja?” katanya.
Ketika ditanya tentang dakwaan bahawa beliau cuba menimbulkan isu ketika Datuk Sheila Majid mengumumkan konsert yang menggunakan lagu Sinaran, Nora menafikan dakwaan tersebut.
“Saya sangat menghormati Sheila sebagai penyanyi. Isu ini tiada kaitan dengan beliau dan sebenarnya telah lama berlaku. Secara kebetulan, saya menghadiri sebuah konsert dan lagu terakhir yang dimainkan ialah Sinaran. Ketika itulah saya teringat kembali tentang isu royalti,” jelasnya lagi.
Anak sulung Nora, Syakir Iman, turut menyatakan sokongan terhadap usaha ibunya dan menegaskan bahawa mereka tidak teragak-agak untuk membawa isu ini ke muka pengadilan jika masih tiada penyelesaian.
“Sejak 2021 kami sudah membangkitkan perkara ini, tetapi sehingga hari ini tiada jawapan. Jika boleh, kami mahu selesaikan secara baik. Namun jika keadaan berlarutan, kami bersedia untuk tindakan undang-undang,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MACP, Mary Yap, serta Aiman Zamir Adnan, anak kepada Allahyarham Adnan Abu Hassan, yang juga merupakan komposer bersama lagu Sinaran.
Sumber: HibGlam
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.