
Foto: Instagram
Seluruh umat Islam berlumba-lumba dalam mengejar ganjaran pahala berkali ganda di bulan Ramadan, pelbagai amalan baik yang dilakukan tidak ketinggalan juga para selebriti yang mencuba untuk khatam Al-Quran.
Aktres terkenal Nora Danish antara yang berjaya khatam Al-Quran dalam tempoh 10 hari. Beliau yang terkenal dengan raut wajah awet muda itu berasa sungguh istimewa dan menganggap pencapaian itu sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya yang ke-43.
Nora menzahirkan perasaan teruja memandangkan ini merupakan kali pertama dia menyertai sesi tadarus berkumpulan dan mengabdikan ia sebagai satu pengalaman berharga.
“Ini adalah kali pertama saya menyertai tadarus, yang mana kami berjaya khatam dalam tempoh 10 hari.
“Setiap hari, kami membaca lebih daripada 50 muka surat Al-Quran. Saya kira ini adalah pencapaian yang sangat berharga dalam hidup saya sekali gus menjadi hadiah ulang tahun kelahiran saya tahun ini.
“Kami memulakan bacaan pada hari pertama Ramadan bersama seorang ustaz hafiz dan kira-kira 30 orang sahabat lain. Ia benar-benar satu pengalaman yang luar biasa buat saya,” katanya.
Nora turut menyatakan bahawa usia tidak patut dijadikan sebagai penghalang untuk seseorang itu berubah menjadi insan yang lebih baik dan mendalami ilmu agama. Beliau turut menambah bahawa walaupun usia sudah menjengah 40-an, masih belum terlambat untuk seseorang itu melakukan kebaikan, termasuk melazimi membaca Al-Quran.
“Dalam kes saya, saya bersyukur kerana Allah membuka pintu hati saya sebelum meninggalkan dunia ini. Betul, memang belum terlambat untuk kita berusaha menjadi insan yang lebih baik.
“Saya sendiri mengaku, dahulu saya jahil, tetapi saya tetap berusaha untuk menjadi lebih baik. Allah Maha Mendengar, Allah Maha Baik. Jangan sesekali rasa sudah terlambat atau berputus asa,”
Nora turut berpesan kepada umat Islam yang lain untuk menyegerakan taubat kerana pengakhiran hidup seseorang itu lebih penting.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.