Foto: Instagram
Hasrat pelakon jelita, Nora Danish untuk menunaikan haji tahun ini terpaksa disimpan dahulu apabila dia tidak tersenarai sebagai jemaah terpilih ke Tanah Suci.
Walaupun sudah membuat persiapan awal, Nora menerima ketentuan ini dengan hati terbuka, meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin dan aturan Ilahi.
Menurut pelakon berusia 43 tahun itu, ibadah haji telah lama menjadi cita-cita yang ingin direalisasikan, dan tahun ini dilihat sebagai waktu yang sesuai. Namun, setelah pelbagai usaha dilakukan, dirinya belum menerima jemputan seperti yang diharap-harapkan.
“Saya memang dah sediakan diri untuk ke Tanah Suci. Tapi bila tak jadi, saya anggap belum rezeki. Orang selalu cakap, haji ni kena dijemput oleh Allah. Mungkin belum tiba masa saya,” ujar Nora kepada media.
Menariknya, Nora turut meluahkan bahawa mungkin hikmah di sebalik penangguhan ini adalah untuk dia menunaikan haji bersama seorang pasangan suatu hari nanti. Meskipun pernah melalui dua episod kegagalan dalam perkahwinan, dia tidak menutup hati terhadap jodoh yang mungkin hadir lagi.
“Siapa tahu, mungkin Allah nak saya pergi haji dengan pasangan nanti. Kehidupan ni pun memang Allah ciptakan secara berpasangan, jadi saya tak tolak kemungkinan itu. Hidup sorang ni kadang-kadang rasa sunyi juga,” katanya penuh makna.
Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada tahun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal. Namun, perkahwinan itu hanya bertahan dua tahun.
Beliau kemudian berkahwin dengan usahawan Nedim Nazri pada tahun 2017, dan dikurniakan seorang lagi anak lelaki, Mohamed Neqayl, sebelum bercerai pada tahun 2023.
Kini, Nora terus melangkah ke hadapan dengan penuh ketenangan dan pengharapan. Dia percaya, jika bukan tahun ini, mungkin suatu masa kelak impiannya akan menjadi kenyataan sama ada bersendirian, atau ditemani insan istimewa yang bakal Allah hadirkan dalam hidupnya.
Sumber: mStar Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.