Sekeping nota kasih ringkas tertulis ‘Love You Ustazah Zainun’ bersama bekas kuih karipap yang dihadiahkan seorang pelajar kepada bekas gurunya, Zainun Zahari sebelum beliau berpindah ke sekolah baharu menjadi tular hingga mempertemukan dua insan tersebut.
Zainun Zahari atau lebih mesra dipanggil Ustazah Zainun memuat naik gambar nota dan bekas makanan tersebut di Facebook dengan harapan agar dirinya dapat bertemu semula dengan bekas anak muridnya yang bernama Putri Alya.
Menurutnya, beliau sentiasa memikirkan keberadaan bekas muridnya itu.
“Anak murid saya yang seorang ni tak tau kenapa bagaikan ada sesuatu yang sentiasa membuatkan saya mencari-cari di mana dia sekarang.
“Semasa saya berhijrah dari SK Datu Hashim, Putri hadiahkan saya sebekas karipap yang sangat sedap. Dalam bekas inilah dia berikan saya dengan mata yang berlinang air mata.
“Dia agak manja dengan saya dulu. Saya tak beritahu dia saya akan berpindah tapi akhirnya dia tahu juga. Saya simpan nota kasih daripada Putri dengan bekasnya sekali sampai sekarang. Dah kuning warna notanya, setiap kali terpandang tertanya-tanya juga di mana dia sekarang?,
"Walaupun hanya sebekas karipap, mungkin ketulusan mengikat hati saya kepadanya. Percayalah bukan kebendaan menjadi nilai, tetapi keikhlasan," tulisnya di Facebook.
Hasil bantuan semua pengguna Facebook hantaran tersebut menjadi tular hingga Ustazah Zainun dapat menghubungi bekas muridnya itu.
“Saya sudahpun berhubung dengan Putri Alyaa. Sayangnya peluang untuk bertemu mata belum tiba atas kekangan tertentu di pihak saya. Untuk confirmkan lagi, kami berhubung menerusi video call
“Alhamdulillah. Betul la orang yang saya cari-cari. Subhanallah. Hampir rasa mustahil nak jumpa sebenarnya.” luahnya.
Ustazah Zainun juga menzahirkan rasa terima kasihnya untuk semua pengguna media sosial yang membantu menularkan hantarannya.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.