Baru-baru ini, Nurul Shuhada yang merupakan isteri pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi tampil membuat ulasan berkenaan jahitan yang diterima di wajahnya akibat kejadian ditumbuk.
Malah, dia juga redha akan kejadian tersebut dan mahu terus melangkah ke hadapan untuk membina kehidupan baharu.

Tambahnya, 10 jahitan yang diterima pada bahagian pipinya dianggap sebagai ‘hadiah’ untuknya sempena ulang tahun ke 29.
"Selama ini, saya memang ditindas, cukuplah saya bagi muka dan bersangka baik. Apa yang sudah terjadi, Allah nak tunjuk saya memang tak boleh toleh ke belakang lagi.
"Saya perlu terus memandang ke hadapan dengan anak-anak saya, sama-sama ke depan. Cukuplah," katanya.
Malah, dia juga tidak berniat untuk menyimpan dendam dan memutuskan hubungan antara anak-anak dan suami.
"Anak-anak memang tak diberitahu apa-apa lagi, saya tidak mahu memburukkan ayah mereka.
"Mereka perlukan seorang ayah dan saya tidak akan putuskan hubungan antara mereka," ujarnya.
Biarpun pergolakan rumah tangga berlaku, Nurul Shuhada tetap bersyukur untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.
"Walau berat macam mana pun saya kena terima. Kalau ujian orang ketiga memang sangat berat, Allah tambah lagi ujian yang lebih berat untuk saya. Ia membuatkan saya yakin akan bahagia dan berjaya dengan anak-anak.
"Allah akan bagi yang lagi baik, yang lagi hebat. Saya memang betul-betul meletakkan 100 peratus kepada Allah," katanya.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.