Foto sekadar hiasan
Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan yang berada di bawah kelolaannya, bermula 21 April ini secara berperingkat.
Langkah ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dan mencintai negara dalam kalangan murid serta warga pendidik selain inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan rasa kebanggaan terhadap negara serta memperkukuhkan identiti nasional di kalangan generasi muda.
KPM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang ini akan melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Ini merupakan usaha bersepadu untuk menggalakkan semua lapisan masyarakat pendidikan turut serta dalam memupuk semangat cintakan tanah air.
"Inisiatif ini selaras dengan peranan institusi pendidikan dalam menanamkan rasa cinta terhadap negara serta menggalakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda," kata kenyataan itu.
Foto sekadar hiasan
Dalam pada itu, pemakaian lencana Jalur Gemilang ini juga dijangka akan memberi peluang kepada murid dan warga pendidik untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap negara, terutama dalam konteks yang lebih positif dan mendalam.
Memetik kenyataan itu lagi, KPM akan membekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada setiap murid untuk sesi persekolahan 2025/2026, bertujuan untuk memastikan semua murid mempunyai akses yang sama terhadap simbol kebanggaan negara tersebut tanpa beban kewangan.
Selain itu, KPM juga turut bertindak menyediakan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan KPM.
Panduan ini disertakan bersama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 dan akan menjadi rujukan rasmi bagi pihak sekolah dan guru dalam memastikan pemakaian lencana tersebut mengikut tatacara yang betul.
Garis panduan ini juga diharapkan dapat memastikan keseragaman dan keselarasan dalam pemakaian lencana Jalur Gemilang di seluruh institusi pendidikan di bawah KPM.
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.